
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih belum menerima dokumentasi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung permohonan untuk skuad Harimau Malaya membawa masuk pemain warisan.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya sedia mengadakan perbincangan dan menyokong FAM dalam sebarang keperluan lain demi memajukan bola sepak negara.
“Setakat ini, saya belum menerima sebarang dokumen berkaitan. Mungkin FAM sedang sibuk dengan pemilihan kepimpinan mereka (Kongres FAM yang dijadual berlangsung pada 15 Februari depan).
“Namun, saya percaya apabila mereka bersedia, mereka akan datang kepada kami. Kami bersedia melihat bagaimana sokongan dapat diberikan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Liga Super Bola Jaring (NSL) di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengesahkan bahawa enam hingga tujuh pemain warisan sudah dikenal pasti untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya.
Justeru, Tunku Mahkota Ismail yang menjadi tulang belakang kepada penstrukturan revolusi Harimau Malaya berharap kerajaan dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia agar mereka dapat bermain untuk Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 yang bermula Mac depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.