comscore
Tumpuan :
Sukan

Saya harap ini kes terakhir – CEO PFAM

Bekas pemilik kelab bergelar Datuk Seri ditahan selepas didapati melanggar perintah mahkamah apabila gagal melunaskan tunggakan gaji kepada pemain. Foto PFAM

KUALA LUMPUR: Penahanan bekas pemilik kelab bola sepak tempatan sepatutnya menjadi amaran dan isyarat jelas buat semua yang berkaitan agar tidak memandang mudah isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail memaklumkan, perintah tangkapan yang dikeluarkan mahkamah itu adalah kali pertama bagi kes yang membabitkan tunggakan gaji kelab bola sepak Malaysia.

Justeru, beliau berharap kes berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak dan juga akan menjadi kes terakhir membabitkan penahanan bekas pemilik kelab bola sepak di negara ini.

“Pemain sudah menderita tidak mendapat hak mereka dan hari ini adalah hari yang sangat penting, bukan sahaja kepada pemain ini, tetapi kepada industri bola sepak Malaysia.

“Saya mengharapkan ini akan menjadi kes terakhir, tidak akan ada lagi kes sebegini dan ini satu teladan kepada semua pemilik dan pengurusan bola sepak di Malaysia untuk lebih serius menjaga hak pemain,” katanya.

Menurut kenyataan daripada PFAM semalam, seorang bekas pemilik pasukan Kuantan FA dan Marcerra United ditahan di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas selesai prosiding sebutan kes jenayah berkaitan penipuan.

Pemilik bergelar ‘Datuk Seri’ itu ditahan polis setelah didakwa mengingkari perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji berbaki RM1.4 juta yang membabitkan 46 pemain dan 12 pegawai kelab itu pada 2018.

Peguam mewakili bekas pemain dan pegawai pasukan terbabit, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak menjelaskan penahanan itu dilakukan mengikut perintah komital yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Beliau berkata, mahkamah sama memutuskan bahawa individu itu perlu dipenjarakan selama seminggu atas kesalahan komital iaitu penghinaan terhadap perintah berkenaan.

Katanya, lelaki berkenaan akan dibawa ke Penjara Kajang dan akan dipenjarakan selama tujuh hari berdasarkan perintah yang diberikan oleh mahkamah dan pihaknya turut akan memulakan tindakan jenayah jika bekas pemilik kelab terbabit gagal melunaskan baki tunggakan yang dituntut.

Sementara itu, bekas pemain Kuantan FA, Abdul Ghani Abdul Rahman bersyukur kerana akhirnya mendapat pembelaan dengan penangkapan bekas pemilik kelab itu.

“Gaji saya sebelum ini tertunggak gaji selama tiga bulan dan keadaan itu menjejaskan kehidupan keluarga. Saya berharap ‘Datuk’ itu dapat melunaskan semua tunggakan dan prosedur lanjut akan diambil jika dia gagal berbuat demikian,” katanya.

Loading...
Terkini