KUALA LUMPUR: Kapten kelab Go Ahead Eagles, Mats Deijl kini semakin hampir untuk mewakili skuad bolasepak kebangsaan pada masa akan datang.
Ini selepas pemain berdarah campuran Malaysia-Belanda berusia 27 tahun itu memaklumkan, dia sudah menyerahkan dokumen kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dokumen itu bagi proses mendapatkan pasport dan seterusnya menyarung jersi Harimau Malaya sebagai pemain kacukan.
Deijl dalam video temu bual di laman Instagram, sameneustijgerbalsem menjelaskan bahawa dia sangat menantikan untuk beraksi bersama pasukan Harimau Malaya.
“Kertas kerja sudah selesai. Segala dokumen saya sudah tunjukkan kepada mereka. Ini sijil lahir datuk saya, ia juga sudah diserahkan,” kata Deijl sambil menunjukkan skrin telefon bimbitnya dalam video itu.
“Pada dasarnya semua dokumen itu kini sudah dihantar kepada pihak berkepentingan. Mereka mempunyai segala-galanya, jadi pada dasarnya semuanya sudah sedia.
“Mereka kini sedang menguruskan pasport dan ia boleh dilakukan. Saya benar-benar mahu itu (beraksi untuk Malaysia). Jika boleh (beraksi seawal Disember), saya fikir ia menakjubkan.”
Sebelum ini, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengesahkan Deijl menyatakan minat untuk menyertai Harimau Malaya.
Hamidin berkata, pemain pertahanan itu menyatakan hasrat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan kepada pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente.
“Datuk dia dari Malaysia, jadi kita tengah proses, dia menghubungi pegawai kita dan Pau Marti untuk (nyatakan hasrat) dia nak main Malaysia,” kata Hamidin.