comscore
Tumpuan :
Sukan

Se Young lakar sejarah di Terbuka Malaysia

Pemain perseorangan wanita Korea Selatan, An Se Young dinobatkan juara selepas menewaskan pemain China Taipei, Tai Tzu Ying 10-21, 21-10, 21-18 pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil.- Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain wanita nombor satu dunia, An Se Young mencatatkan sejarah sebagai pemain Korea Selatan pertama memenangi gelaran juara dalam acara perseorangan badminton Terbuka Malaysia sejak kejohanan itu mula diadakan pada 1937.

Juara dunia berusia 21 tahun itu meraih kejayaan selepas bangkit daripada ketinggalan dalam set pertama untuk menewaskan juara empat kali Tai Tzu Ying dari Taiwan 10-21, 21-10, 21-18 pada perlawanan akhir di Axiata Arena di sini.

Selain berjaya menebus kekecewaan tahun lalu terhadap Akane Yamaguchi dari Jepun pada final, Se Young juga membalas dendam kekalahannya kepada Tzu Ying dalam separuh akhir pada Final Jelajah Dunia bulan lepas.

Sebagai juara, Se Young membawa pulang pingat, trofi dan hadiah wang tunai US$91,000 (kira-kira RM422,877), manakala Tzu Ying menerima US$44,200 (anggaran RM205,397) selain pingat dan trofi.

Bercakap kepada pemberita selepas kejayaan itu, Se Young berkata beliau akan terus memberi tumpuan kepada pemulihan daripada kecederaan lutut yang dialaminya pada Oktober tahun lalu untuk bersedia sepenuhnya menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

“Ia merupakan permulaan yang baik tahun ini menuju Sukan Olimpik. Kecederaan ini masih mengganggu saya kerana hanya pulih 70 peratus, jadi saya akan fokus untuk kembali cergas sepenuhnya dan akan memutuskan kejohanan seterusnya selepas berbincang dengan jurulatih.”

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana dianggap sebagai pemain pilihan untuk menjuarai Sukan Olimpik, namun sukar untuk meletakkan jangkaan pada kejohanan yang besar sebegini. Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada diri sendiri terlebih dahulu,” kata Pemain Wanita Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang meraih 11 gelaran pada 2023.

Pemain Korea Selatan telah memenangi gelaran Terbuka Malaysia dalam acara lelaki, wanita dan beregu campuran, namun gelaran bagi perseorangan lelaki dan wanita sukar dicapai sehinggalah Se Young memecahkan kebuntuan itu.

Perseorangan lelaki, Anders Antonsen dari Denmark juara.

Antosen yang dianggap pemain kedua terbaik Denmark mengalahkan pemain China, Shi Yu Qi 21-14, 21-13.\

Pemain perseorangan Denmark, Anders Antonsen dinobat juara perseorangan lelaki selepas menundukkan pemain China, Shi Yu Qi 21-14, 21-13 pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil.- Foto: NSTP

Kemenangan itu sekali gus menebus kekecewaan rakan senegara yang juga pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen untuk menjuarai kejohanan ini tiga kali berturut-turut selepas tewas di peringkat separuh akhir kepada Yu Qi semalam.

Acara beregu lelaki tidak kurang sengit apabila mempamerkan gandingan nombor satu dan dua dunia.

Pasangan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang bangkit daripada kekalahan dalam set pertama untuk menang dua set berikutnya dan merangkul gelaran juara.

Pemain beregu wanita China, Liu Dheng Shu – Tan Ning meraikan kejayaan mereka mengalahkan rakan senegaranya Zhang Shu dan Zheng Yu 21-18, 21-18 pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia 2024.- Foto: NSTP

Liang dan Wang menang 9-21, 21-18, 21-17 mengatasi beregu India, Satwiksairaj Ranikeddy-Chirag Shetty.

Acara beregu wanita, keputusan memihak pilihan kelapan, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China yang menewaskan rakan senegara yang juga pilihan kelima Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-18, 21-18.

Beregu campuran, giliran gandingan Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun merangkul gelaran juara menewaskan gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 21-18, 21-15.

Loading...
Terkini