comscore
Tumpuan :
Sukan

Sebagai pemain Malaysia saya akan terus bermain – Zii Jia

Aksi Zii Jia ketika menewaskan pemain Taiwan, Lin Chun Yi 21-16, 21-13 pada saingan kumpulan. FOTO: Ihsan BAM

SHAH ALAM: China menjadi halangan terakhir esok dalam misi mempertahankan gelaran juara Kejohanan Badminton Asia (BATC) selepas mengatasi cabaran Jepun malam ini.

Antara yang mendapat pujian susulan kejayaan menumpaskan Jepun 3-1 di separuh akhir pada di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, perseorangan utama Lee Zii Jia yang meraih mata pertama selepas mengalahkan  Kenta Nishimoto 21-18, 21-15.

Menurut Zii Jia, dia telah mengkaji kekalahan kepada Nishimoto pada Masters China tahun lalu dan prestasi semasa lawannya dan dibantu strategi jurulatih, Zii Jia mengakui yakin untuk mencatat kemenangan hari ini.

“Saya bukan 100 peratus cergas tapi kita tak mahu berlaku seperti semalam.

“Saya rasa saya boleh main… sebagai pemain Malaysia, saya akan terus main kerana pasukan akan mengawasi keadaan saya,” dedah Zii Jia.

Pada saingan suku akhir menentang  Singapura semalam, Zii Jia dilaporkan mengalami masalah resdung dan tidak dapat diturunkan.

Tempatnya digalas Ng Tze Yong, bagaimanapun kecederaan belakang Tze Yong berulang memaksa dia menarik diri di set pertama pada pertemuan dengan Jason Teh.

Zii Jia mengimbas situasi  sama dihadapinya pada Masters Indonesia baru-baru ini, apabila terpaksa menarik diri pada pusingan suku akhir, biarpun sudah mengalami cirit birit dari hari pertama kerana tersalah makan.

“Walaupun cirit birit, saya tetap bermain dan bergantung kepada situasi hari perlawanan, jika boleh teruskan… saya teruskan sehinggalah di suku akhir, terpaksa menarik diri,” katanya.

Apapun Zii Jia sentiasa menghargai sokongan peminat yang mendorong keyakinannya dan tidak terlalu memikirkan tekanan yang boleh menjejaskan kekuatan mentalnya.

“Saya hanya ingin menikmati permainan,” kata Zii Jia.

Sepanjang BATC di sini, selain berdepan Nishimoto malam ini, Zii Jia telah beraksi dua kali  pada saingan kumpulan mengalahkan pemain Kazakhstan, Dmitriy Panarin 21-11, 21-10 dan Lin Chun Yi  dari Taiwan  21-16, 21-13.

Loading...
Terkini