comscore
Tumpuan :
Sukan

Sekalipun tewas, aksi Georgia tetap boleh dibanggakan

Pemain Georgia meraikan gol penyamaan pasukannya sebelum tewas 1-3 kepada Turkiye dalam aksi Kumpulan F Euro 2024 di Signal Iduna Park awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

DORTMUND: Penampilan pemain-pemain Georgia tetap membanggakan pengendali pasukan, Willy Sagnol sekalipun tewas 1-3 kepada Turkiye dalam aksi Kumpulan F Euro 2024 di Signal Iduna Park awal pagi tadi.

Bermain buat julung kalinya di kejohanan utama, Georgia mengasak Turkiye hingga ke akhir permainan dan mempunyai beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan sebelum Kerem Akturkoglu menamatkan permainan dengan jaringan ketiga Turkiye.

Mert Muldur membuka jaringan buat Turkiye pada minit ke-25 sebelum Georges Mikautadze menyamakan kedudukan pada minit ke-32. Arda Guler kembali meletakkan Turkiye di depan pada minit ke-65.

“Saya rasa apabila tewas ia bukan sesuatu yang bagus, tetapi anda tahu bagi pasukan saya perkara paling penting ialah di tempat lain, dan kami memberikan imej yang baik untuk bola sepak Georgia. Saya rasa kami boleh berbangga.

Pengendali Georgia, Willy Sagnol – FOTO: Reuters

“Sudah tentu kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol, mungkin sebanyak peluang Turkiye, tetapi itulah bola sepak. Saya tidak mahu mengatakan yang kami gembira dengan kekalahan ini, tetapi kami boleh berbangga dengan persembahan kami,” kata Sagnol.

Georgia akan meneruskan kempen Kumpulan F dengan menentang Republik Czech pada Sabtu.

“Saya yakin Sabtu ini kami akan menampilkan persembahan sama dan saya tidak sabar menantikan perlawanan itu,” katanya. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini