comscore
Tumpuan :
Sukan

Selangor FC akan membuat rayuan kepada MFL

KELANA JAYA: Selangor FC tetap akan membuat rayuan terhadap hukuman dikenakan ke atas mereka oleh Malaysian Football League (MFL) walaupun pengelola liga itu sudah mengurangkan hukumannya hari ini.

Menurut Selangor FC, hukuman ke atas mereka yang dianggap melampau sebelum ini tetap boleh melalui proses rayuan.

“Selangor FC mengambil maklum berkenaan pertimbangan semula keputusan yang telah dibuat hari ini oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL berkenaan ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024.

“Untuk makluman, Selangor FC masih belum memfailkan rayuan berdasarkan keputusan yang telah dipertimbangkan semula oleh ahli Lembaga Pengarah MFL berlandaskan peraturan-peraturan yang berkaitan,” kata Selangor FC dalam satu kenyataan.

Selangor FC sebelum ini didenda RM100,000 dan dipotong tiga mata dalam saingan liga musim ini kerana tidak hadir untuk perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei lalu.

Selangor FC turut dihukum bermain tanpa penonton untuk aksi Liga Super bertemu JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, serta membayar pampasan kepada JDT dan MFL.

Bagaimanapun selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan MFL dan FAM, badan pengelola liga bola sepak negara itu memberi ‘diskaun’ terhadap keputusan sebelum ini.

Dalam kenyataan hari ini, MFL berkata ahli Lembaga pengarah “menggunakan budi bicara” untuk membuat keputusan itu sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut MFL, denda terhadap Selangor FC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 juga dibatalkan.

MFL turut membatalkan larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Namun bayaran pampasan kerugian yang perlu dibayar kepada pasukan JDT dan MFL dikekalkan

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini