
Natxo Insa – Foto FB Johor Southern Tigers
KUALA LUMPUR: Selangor FC dan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa dikenakan hukuman denda oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC menerusi mesyuarat kelmarin memutuskan Selangor dikenakan denda keseluruhan sebanyak US$24,500 (kira-kira RM110,000).
Jumlah denda itu membabitkan tiga kesalahan ketika aksi Liga Juara-Juara Asia 2 menentang Jeonbuk Hyundai Motors pada 23 Oktober lalu.
Kesalahan terbabit termasuk tindakan penyokong menayangkan kain rentang mengandungi unsur yang dilarang dan kegagalan Selangor menghalang penonton mereka membawa masuk dan menayangkan kain rentang itu.
Satu lagi kesalahan adalah tindakan pasukan Gergasi Merah yang menyebabkan berlaku kelewatan sepak mula aksi separuh masa kedua perlawanan itu.
Bagi kesalahan pertama dan kedua, Selangor FC diperintah membayar denda sebanyak US$15,000 (RM67,000) dan US$7,500 (RM34,000) kerana melanggar Perkara 65.1 serta Perkara 64.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.
Kesalahan ketiga pula menyaksikan Gergasi Merah dikenakan denda sebanyak US$2,000 (RM9,000) kerana melanggar Artikel 2.2 Manual Operasi Pertandingan AFC.
Semua denda itu perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan berkenaan mengikut Perkara 11.3 Tatatertib dan Kod Etika AFC dan hukuman berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.
Sementara itu, Insa pula dikenakan hukuman oleh badan induk bola sepak Asia itu susulan kenyataannya terhadap pengadil selepas aksi Liga Juara-Juara Asia Elit menentang Shandong Taishan pada 26 November lalu.
Insa dikenakan hukuman denda US$5,000 (RM22,000) kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Perkara 50.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.
AFC yang mengumumkan keputusan itu, semalam turut memaklumkan denda berkenaan hendaklah diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan itu mengikut Perkara 11.3 AFC Tatatertib dan Kod Etika.
Malah, hukuman lebih berat turut menanti pemain tengah berpengalaman itu sekiranya mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.