comscore
Tumpuan :
Sukan

Selangor, NSFC berentap di suku akhir

Aksi pemain Selangor dan PDRM pada pusingan kedua 16 pasukan Piala Malaysia di Stadium MBPJ. – Foto: Selangor FC

PETALING JAYA: Pemburuan gelaran ke-34 berjalan lancar buat Selangor FC (SFC) selepas juara 33 kali itu mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia, sebentar tadi.

Mereka mengungguli aksi kedua pusingan 16 pasukan dengan menewaskan pasukan Liga Perdana, Kelantan United FC (KUFC) 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu menghimpun agregat 3-0 untuk menempah pertemuan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) di suku akhir.

Pada aksi terbabit, perlawanan lebih didominasi tuan rumah dan sorotan terbaik babak pertama menerusi sepakan percuma deras Mukhairi Ajmal Mahadi yang berjaya ditepis Fikri Che Soh pada minit ke-19.

SFC nyaris membuka jaringan di penghujung babak pertama apabila percubaan Hein Htet Aung ‘terlucut’ dari dakapan Fikri namun segera diselamatkan penjaga gawang KUFC itu.

Bersambung babak kedua, KUFC mensia-siakan peluang untuk meledak gol pembukaan pada minit ke-62 apabila tampanan Julius Ziggy Ofori tersasar di hadapan gol SFC.

Gol pembukaan yang dicari SFC tiba betul betul di hujung permainan selepas sepakan percuma Mukhairi ditanduk Nik Akif Syahiran Nik Mat ke gawang sendiri pada minit ke-90.

Sebagai rekod, skuad ‘Gergasi Merah’ turut berjaya sehingga ke suku akhir musim lalu sebelum langkah mereka disekat KL City FC yang akhirnya muncul juara edisi 2021. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini