comscore
Tumpuan :
Sukan

Selangor Red Giants mara ke separuh akhir

Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman atau ‘Sekys’. FOTO: Esports World Cup

RIYADH: Pasukan Selangor Red Giants (SRG) berjaya menempah tiket ke peringkat separuh akhir Piala Pertengahan Musim MLBB, MSC 2024.

Pertemuan menentang wakil Turkiye, Fire Flux Esports, SRG bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum merakam kemenangan 3-2.

Pada aksi yang menggunakan format ‘best of five’, SRG cemerlang membuat kebangkitan untuk mencatat kemenangan pertama ke atas Fire Flux.

Perlawanan kedua, Fire Flux tidak mahu kecewa lagi, berjaya mengawal permainan sebelum menutup aksi untuk kedudukan 1-1.

SRG kembali dengan strategi lebih baik pada ‘game’ ketiga terutamanya menerusi aksi kemas Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman atau ‘Sekys’ dan Hazziq Danish Mohd Rizwan atau ‘Stormie’ yang menggunakan hero Ling dan Angela.

Mereka menamatkan aksi dalam tempoh 19 minit, merakam catatan 14 ‘kills’ berbalas 2.

Perlawanan keempat, giliran Fire Flux pula menggunakan hero Angela yang dikawal Rosa atau Ahmed Taha Batir, ‘mid laner’ pasukan dari Turkiye ini.

Dan nyata strategi mereka menjadi untuk mengikat kedudukan 2-2, mengheret permainan ke pusingan penentuan.

Jangkaan pertarungan sengit untuk berlaku bagaimanapun meleset selepas ‘drafting’ berbeza yang dilakukan SRG berjaya memerangkap Fire Flux.

Kali ini, penggunaan hero ‘Roger’ oleh Sekys cukup cemerlang, merakam 7 ‘kills’ untuk membantu SRG mencatat kemenangan 3-2.

Sekaligus, mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir, menyamai pencapaian yang pernah dilakukan pasukan RSG Malaysia pada MSC edisi 2022.

SRG kini menanti pemenang antara wakil Singapura, NIP Flash yang akan berdepan dengan satu lagi pasukan dari Malaysia, Homebois yang akan beraksi esok.

FOTO: Esports World Cup

Saingan MSC 2024 menawarkan hadiah keseluruhan cukup lumayan berjumlah USD3 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini