KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente akan menentang India bagi perlawanan antarabangsa Tier 1 di tempat lawan, 19 November depan.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan badan induk bolasepak kebangsaan itu, venue dan waktu sepak mula perlawanan berkenaan akan dimaklumkan selepas ia dimuktamadkan oleh pihak tuan rumah iaitu Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).
“Perlawanan tersebut bakal berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA dari 11 hingga 19 November 2024 yang mana FAM juga pada ketika ini sedang mengesahkan satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang satu lagi pasukan lain dalam tempoh berkenaan.
“Kali terakhir Malaysia bertemu India adalah pada 13 Oktober 2023 untuk perlawanan Pestabola Merdeka 2023 yang mana skuad Harimau Malaya ketika itu dibimbing Kim Pan Gon mencatat kemenangan 4-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
“Malaysia turut pernah bertandang ke India bagi siri dua perlawanan persahabatan menentang negara tersebut pada 2011 yang mana skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K. Rajagobal ketika itu seri 1-1 pada aksi pertama di Guwahati dan tewas 3-2 pada aksi kedua di Kolkata,” jelas kenyataan itu.
Berdasarkan kemas kini ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 19 September lalu, India kini berada di kedudukan ke-126 dunia, manakala Malaysia di kedudukan ke-132 dunia.
Ogos lalu, FAM turut mengesahkan Harimau Malaya akan menentang pasukan di ranking ke-94 dunia, New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.