comscore
Tumpuan :
Sukan

Semua pemain boleh jadi kesebelasan utama – Pan Gon

Arif Aiman menjaringkan gol pertama skuad negara pada minit ke-39 . – FOTO IHSAN FAM

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon nyata amat berpuashati dengan persembahan anak buahnya selepas mengikat Syria dengan keputusan seri 2-2 pada aksi persahabatan di Doha malam tadi.

Apa tidaknya, inilah perlawanan pertama skuad kebangsaan selepas hanya menjalani latihan tanpa sebarang aksi kompetitif sejak sebulan lepas.

“Ini perlawanan pertama (sejak sebulan) dan saya rasa persembahan mereka cukup baik, kita dapat bersaing dengan pasukan di ranking 91 dunia, bagi saya ia permulaan yang baik sebelum kempen bermula, ” kata Pan Gon  menerusi rakaman video yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Sumareh antara pemain yang diberi ruang beraksi oleh Pan Gon. – FOTO IHSAN FAM

Skuad negara yang menduduki ranking ke-130 dunia bermula garang apabila mendahului Syria 1-0 menerusi jaringan Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-39 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Selepas rehat Syria  memperkemaskan permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70 menerusi Pablo Sabbag dan giliran lawan mendahului 2-1 empat minit kemudian menerusi Ibrahim Hesar.

Tidak mudah mengalah, Harimau Malaya menyamakan kedudukan empat minit berselang hasil penyudah pemain Kuala Lumpur, Pablo Josue untuk keputusan muktamad 2-2.

“Semua pemain boleh berada dalam kesebelasan utama itulah yang dapat kita perolehi menerusi perlawanan ini dan staf kejurulatihan akan memutuskan hasil daripada aksi ini untuk menentukan kesebelasan utama terakhir untuk dipersiapkan untuk menghadapi perlawanan pertama nanti,” kata Pan Gon.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 16 Jan, diikuti Bahrain (20 Jan) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan.

Sekaligus  penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007 tetapi tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam kejohanan ini.

Syria pula yang diundi dalam Kumpulan B akan berdepan Uzbekistan pada Ahad, diikuti Australia (18 Jan) dan India (23 Jan).

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik layak untuk pusingan 16 pasukan di Doha.

Loading...
Terkini