comscore
Tumpuan :
Sukan

SEPAK TAKRAW: Skuad negara atasi Jepun, teruskan kemaraan buru trofi ketiga

KUALA LUMPUR: Malaysia menepati ramalan muncul juara kumpulan C acara berpasukan untuk layak ke suku akhir Piala Dunia ISTAF.

Skuad negara menewaskan Jepun 3-0 dalam aksi terakhir malam ini untuk menempah pertembungan dengan India esok.

Mata pertama disumbangkan Amirul Zazwan Amir, Mohd Noraizat Mohd Nordin dan Mohd Haziq Hairul Nizam yang berdepan Ikki Mito, Daishi Tamaki dan Yota Ichikawa.

Aksi set pertama berlangsung sengit apabila lawan mengikat mata hingga 11 sebelum Malaysia lega berjaya menambah empat lagi mata berikutnya.

Pemain negara lebih garang selepas itu menyaksikan mereka menambah jurang besar mata membolehkan mencatat 15-4.

Gandingan Mohd Syahir Mohd Rosdi, Mohd Azlan Alias dan Farhan Adam kemudian mengesahkan kemenangan ke atas Jepun dengan menyumbang mata kedua.

Ryota Haruhara, Wataru Narawa dan Toshitaka Naito nyata bukan tandingan skuad negara apabila tunduk 5-15, 5-15.

Berkelebihan mendahului 2-0, giliran Aidil Aiman Azwawi, Mohd Zarif Marican Ibrahim Marican dan Mohd Shahalril Aiman Halim turun berentap dengan Kento Nakamura, Masaki Sasamoto dan Yuki Sato.

Sekali lagi, Jepun terpaksa akur dengan kekalahan 15-5, 15-7.

Anak buah Ahmad Jais Baharun itu dijadual turun semula jam 12 tengah hari esok di Stadium Titiwangsa berentap dengan naib juara kumpulan B, India dalam misi layak ke separuh akhir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini