comscore
Tumpuan :
Sukan

Sepak Takraw Sukan Sea: 22 Emas ditawarkan di Kemboja

KUALA LUMPUR: Temasya Sukan SEA Kemboja 2023 bakal mencipta sejarah dengan rekod sebanyak 22 pingat emas ditawarkan dalam acara sepak takraw pada temasya edisi ke-32 di Phnom Penh, dari 6 hingga 16 Mei ini.

Acara chinlone kembali ke sukan serantau itu selepas enam tahun, sukan tradisi Myanmar itu menawarakan 12 pingat emas – empat masing-masing dalam acara lelaki, wanita dan campuran manakala enam emas acara lelaki dan empat emas wanita dipertandingkan dalam sepak takraw.

Jumlah tetinggi pingat emas ditawarkan adalah sebanyak 12 ketika kali terakhir acara chinlone dipertandingkan pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader, dalam kenyataan hari ini, berkata acara chinlone mendapatkan kelulusan dipertandingkan semasa mesyuarat bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh, Selasa lalu.

Beliau berkata untuk sepak takraw, setiap negara hanya boleh mengambil bahagian dalam tiga acara lelaki dan dua wanita manakala bagi chinlone tiga acara lelaki, dua wanita dan dua acara campuran dibenarkan.

Katanya, sebuah negara hanya boleh menghantar satu pasukan bagi setiap acara.

Bagaimanapun, tuan rumah Kemboja dibenarkan mengambil bahagian dalam semua acara.

Abdul Halim, yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Chinlone Asia sejak 2013, berkata mereka akan meminta Kementerian Sukan dan Hal Ehwal Belia Myanmar, bersama-sama Sepak Takraw Myanmar dan Persekutuan Chinlone untuk membantu negara-negara lain yang mengambil bahagian untuk membangunkan skuad chinlone mereka.

“Saya akan meminta Myanmar memberikan sokongan dan tajaan kem latihan kendalian jurulatih Myanmar untuk tempoh dua hingga tiga bulan sebelum Sukan SEA di Nay Pyi Taw untuk pemain sepak takraw dan chinlone dari Singapura, Laos, Kemboja dan Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini