comscore
Tumpuan :
Sukan

Seri lawan Man City, Arsenal gagal pintas Liverpool

Foto: Reuters

MANCHESTER: Hasrat Arsenal untuk kembali merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), tidak kesampaian apabila diikat Manchester City 0-0 di Etihad.

Liverpool kendalian Jurgen Klopp kini yang mengumpul 67 mata, mendahului dengan kelebihan dua mata ke atas Arsenal, selepas menewaskan Brighton 2-1 pada perlawanan sebelum itu.

Keputusan di Etihad itu mengekalkan rekod tanpa kalah Man City di laman sendiri sejak November 2022 dan menamatkan deretan lapan kemenangan Arsenal dalam saingan liga.

Bagaimanapun Arsenal kendalian Mikel Arteta berjaya menghalang anak buah Pep Guardiola daripada menjaringkan gol di Etihad buat pertama kali sejak dua tahun lalu.

City menguasai permainan tetapi bergelut untuk melepasi benteng Arsenal yang paling kurang dibolosi dalam saingan liga musim ini.

The Gunners yang tewas dalam lapan kunjungan terakhir ke Etihad, termasuk kekalahan 4-1 yang memberikan kelebihan kepada City dalam perebutan kejuaraan musim lalu, lebih cenderung bertahan dan melakukan serangan balas untuk memerangkap tuan rumah.

City turun tanpa dua tonggak pertahanan, Kyle Walker dan John Stones yang cedera ketika aksi persahabatan antarabangsa bersama England.

Kegagalan City meraih kemenangan bermakna mereka masih belum menewaskan mana-mana pasukan di kelompok lima teratas musim ini.

Juara bertahan itu kini terpaksa mengharapkan Liverpool dan Arsenal tercicir mata jika mereka mahu menjadi kelab pertama meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris empat kali berturut-turut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini