comscore
Tumpuan :
Sukan

“Siapa Syihan, saya tak kenal” – seloroh Tunku Ismail

Ditanya mengenai khabar angin bahawa JDT sudah menandatangani penjaga gawang Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (kanan), Tunku Ismail secara berseloroh mengatakan tidak mengenali pemain terbabit.

JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan skuad Harimau Selatan harus dilabel pasukan ‘underdog’ musim depan.

Ini kerana katanya, JDT tidak akan melabur untuk mendapat khidmat pemain baharu ketika beberapa pasukan lain tampak begitu sibuk melakukan penambahbaikan dalam pasukan masing-masing.

Bercakap selepas perlawanan persahabatan antarabangsa antara JDT dan Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, Tunku Ismail turut mengakui rekod cemerlang pasukan itu pada musim ini tidak mampu diulangi kerana ia sukar.

“Saya menyifatkan pada musim 2023, JDT adalah underdog kerana kami tidak melaburkan wang dan JDT bukanlah pasukan yang akan dicabar kerana kami lebih selesa untuk menjadi pasukan bukan pilihan pada musim depan.

“Sepanjang 10 tahun saya dalam industri bola sepak dan pada saya ini adalah kejayaan paling bermakna kerana kami menang banyak piala daripada pasukan bawah 12 tahun hinggalah ke pasukan utama terutama JDT yang mengharungi 35 perlawanan domestik tanpa kalah.

“Bagi saya ini adalah kejayaan yang paling hebat dalam karier saya di dalam industri bola sepak Malaysia sejak sedekad lalu dan saya rasa perkara ini sukar untuk diulangi lagi.

Saya yakin 100 peratus tetapi kalau boleh pencapaian ini diulangi ianya sangat bagus tetapi saya sedar ia sangat sukar,” kata Tunku Ismail

Untuk musim 2022, JDT menyapu bersih kesemua trofi domestik dengan menjuarai Liga Super, Piala FA, Piala Sultan Ahmad Shah dan Piala Malaysia dengan rekod cemerlang tanpa kalah sepanjang musim dalam semua kejuaraan yang dipertandingkan.

Ditanya khabar angin bahawa JDT sudah menandatangani penjaga gawang Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Tunku Ismail secara berseloroh mengatakan tidak mengenali pemain terbabit.

“Siapa Syihan. Saya tidak kenal,” kata Tunku Ismail secara berseloroh sebelum beredar dari ruang media di Stadium Sultan Ibrahim.

Loading...
Terkini