comscore
Tumpuan :
Sukan

SIPMA medan lahirkan atlet bertaraf kebangsaan dan antarabangsa 

TANJUNG MALIM: Sebanyak 285 pingat emas, perak dan gangsa menjadi rebutan atlet yang menyertai Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA 9) yang berlangsung di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikukum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan (KPM) Zainuren Mohd Nor ketika merasmikan Perkampungan SIPMA 9 di Dewan Kolej Harun Aminurrashid berkata sebanyak lapan majlis sukan institusi pendidikan menyertai kejohanan yang berlangsung hari ini hingga 16 September.

Beliau berkata SIPMA 9 menyaksikan penyertaan lapan majlis sukan  di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Majlis Sukan Institut Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM), Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Sekolah- sekolah Malaysia(MSSM), Majlis Sukan Institusi Pengajian Tinggi Swasta Malaysia( MASISWA), Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM), Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSMM), serta Majlis Sukan Kolej Vokasional Malaysia (MASKoV).

SIPMA 9 anjuran Majlis Institut Pendidikan Guru Malaysia itu mempertandingkan sebanyak lapan acara iaitu olahraga, bola sepak, bola jaring, bola tampar, renang, tenpin boling, hoki dan badminton.

Beliau berkata SIPMA membuka peluang bagi pelajar institusi pendidikan  Malaysia membabitkan diri dengan lebih kompetitif dalam konteks pembudayaan sukan dalam kalangan pelajar.

Menurut Zainuren SIPMA yang diadakan dua tahun sekali  juga menjadi landasan kepada atlet bertanding peringkat lebih tinggi sama ada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sekali gus mengangkat kecemerlangan sukan negara.

“KPM berperanan memastikan pelajar  bergiat aktif dalam sukan tanpa mengabaikan pembangunan akademik selaras dengan Dasar Sukan Negara yang menyokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK) yang ingin melahirkan pelajar yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, semangat, emosi dan jasmani,” katanya.

Sejak SIPMA diadakan sebagai kejohanan sukan bertaraf kebangsaan, katanya, berjaya  melahirkan 61 atlet yang mewakili  negara bertaraf olimpian sekali gus selaras aspirasi negara.

Loading...
Terkini