comscore
Tumpuan :
Sukan

Siti seronok berlatih bersama pemain lelaki Myanmar

KUALA LUMPUR: Pemain badminton wanita kebangsaan, Siti Nurshuhaini Azman teruja dengan kaedah latihan Persatuan Badminton Malaysia BAM, yang mengundang pemain lelaki remaja Myanmar menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Setia Alam bermula Selasa depan.

Pemain Myanmar berkenaan yang bertindak selaku rakan pelatih itu ialah  Hein Htut, 18; Zaw Lin Htoo, 20, dan Nyon Shaine Lin, 15.

Menurut Siti Nurshuhaini kaedah latihan itu dapat membantu meningkatkan gaya permainannya.

“Saya rasa seronok sebab dapat sparring dengan pemain berlainan jantina, dekat situ kita dapat belajar perkara baharu…sebelum ini kita berlatih dengan pemain-pemain wanita negara sahaja.

“Malah kami tengok cara mereka (pemain Myanmar) bermain ini juga lebih kurang dengan lawan yang kita akan jumpa dekat BATC nanti dan harap ia boleh bantu saya dan pemain-pemain Malaysia yang lain,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara di sini.

Selain Siti Nurshuhaini barisan wanita negara turut diperkuatkan Goh Jin Wei, K.Letshanaa dan Ling Ching

Kongsi Siti Nurshuhaini, persiapan skuad wanita negara secara keseluruhannya berjalan lancar setakat ini.

“Harapan saya dan pasukan sudah tentu kalau boleh kita nak memperbaiki keputusan edisi lalu,” katanya
.
Skuad negara yang menamatkan saingan edisi lepas di tempat ketiga, diundi dalam kumpulan Y bersama-sama Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Selain barisan pemain perseorangan, cabaran pasukan wanita negara bagi BATC kali ini turut digalas pasangan beregu Pearly Tan-M Thinaah, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan dan Mei Xing-Tan Zhing Yi. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini