KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mempertaruhkan barisan terkuat dalam usaha untuk menjuarai kategori lelaki dan wanita di kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2024.
Juara kebangsaan, S Sivasangari akan mengetuai cabaran negara bagi kategori wanita dengan Ng Eain Yow menjadi sandaran bagi kategori lelaki di kejohanan yang membuka tirainya semalam di salah sebuah pusat membeli-belah terkemuka negara.
Kejohanan kali ini akan berlangsung di gelanggang kaca menawarkan pengalaman mengujakan buat peminat mendekati sukan yang akan dipertandingkan buat kali pertama di temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Kejohanan yang bertaraf Gangsa dalam Siri Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) akan berakhir 17 November ini akan turut membabitkan penyertaan pemain Mesir, Amina Orfi dan juara Terbuka China, Rachel Arnold.
Bagi kategori lelaki, Eain Yow dijangka akan menerima tentangan sengit daripada pilihan utama Youssef Soliman, Youssef Ibrahim dan jaguh Qatar, Abdulla Al-Tamim.
Ketua Promosi ACE Sports & Management, Jadish Kumar berkata, ia adalah peluang terbaik peminat skuasy menyaksikan aksi pemain negara secara dekat.
“Matlamat kami adalah untuk membawa skuasy kepada orang ramai dengan memanfaatkan gelanggang kaca di ruang terbuka agar peminat dapat menikmatinya dengan lebih dekat dan terinspirasi untuk menyertai sukan ini.
“Peminat juga akan dapat menyaksikan bintang tempatan seperti Sivasangari, gandingan adik-beradik Aira dan Aifa Azman selain Rachel dapat bersaing di tanah air,” katanya.
Jadish berkata, pertambahan dari segi jumlah bilangan pemain Malaysia yang mencecah rekod penyertaan kali ini, menunjukkan bakat skuasy negara yang semakin berkembang dengan ramai barisan pemain kini berada dalam kedudukan 100 teratas PSA dan layak untuk kejohanan bertaraf Gangsa ini.
Dengan lebih daripada 100,000 penonton dijangka hadir sepanjang hujung minggu, acara ini dijangka menjadi antara skuasy terbesar di Malaysia.