comscore
Tumpuan :
Sukan

Sivasangari kena sedia hadapi tekanan lebih tinggi – SRAM

PETALING JAYA: Selepas cemerlang meraih kejuaraan pertamanya bagi kejohanan bertaraf emas saingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA), Klasik London 2024, S Sivasangari perlu bersedia menghadapi tekanan lebih tinggi.

Harapan peminat juga pastinya semakin tinggi dan akan sentiasa menagih kejayaan berterusan.

Malah sudah yang beranggapan pemain kelahiran Kedah itu bakal pengganti Datuk Nicol David.

“Bermula dari saat ini harapan dan tekanan mulai tinggi buat Sivasangari. Namun ia adalah lumrah buat pemain hebat dunia dan saya berharap dia sedar dan akan bersiap sedia,” kata Pengarah Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), S.Maniam.

Apa yang pasti kejayaan di London memang catatan luar biasa  dilakar Sivasangari apabila berjaya menumbangkan pemain dalam kelompok lima terbaik dunia.

Bermula pada suku akhir dengan menundukkan pemain nombor satu dunia dari Mesir, Nour El Sherbini, Sivasangari kemudiannya mengalahkan pemain Belgium, Nele Gilis yang juga pemain ranking ke-4 dunia, pada saingan separuh akhir.

Kemuncaknya, Sivasangari menewaskan seorang lagi bintang Mesir, Hania El Hammamy juga pemain nombor dua dunia pada aksi final.

“Saya percaya dia akan mencapai lebih kejayaan selepas ini, tetapi bagi saya tidak perlu membandingkan dia dengan orang lain, dia adalah Sivasangari yang bangkit daripada detik sukar (kemalangan jalan raya pada Jun 2022) dan membuktikan kepada dunia apa yang mampu kita capai menerusi keazaman tinggi,’ ujar S.Maniam.

Kejayaan memenangi Klasik London 2024 juga menyaksikan Sivasangari yang kini berada di kedudukan ke-13 dunia, semakin menghampiri untuk berada dalam kelompok pemain utama dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini