comscore
Tumpuan :
Sukan

Sivasangari kini duduki ranking ke-10 dunia

‘Budak ajaib’ tembusi kelompok 10 terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, S Sivasangari disifatkan sebagai ‘budak ajaib’ susulan pencapaiannya yang kini melonjak ke kedudukan ranking ke-10 dunia.

Timbalan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Sharon Wee berkata, beliau kagum dengan pencapaian yang sudah diraih pemain berusia 25 tahun itu terutama meskipun sebelum ini berdepan dengan pelbagai kesukaran dan cabaran termasuk terbabit dengan kemalangan jalan raya, dua tahun lalu.

“Dia seorang pemain yang memiliki kemahiran tinggi dan berkaliber. Paling penting dia tidak pernah menyerah kalah.

“Tidak ramai mempunyai kekuatan seperti dia, sangat ajaib selepas mengalami kemalangan agak teruk sebelum ini,” kata Sharon.

Menurut Sharon yang juga bekas pemain kebangsaan, banyak yang boleh dipelajari daripada Sivasangari terutama mengenai perjalanan diharunginya untuk kembali bangkit dan kini menjadi pemain nombor 10 dunia.

“Bukan sahaja atlet, kita sendiri sebagai manusia biasa juga boleh belajar daripadanya. Bagaimana, dia bangkit daripada kesusahan dan cabaran selepas kemalangan.

“Titik-tolak daripada itu saya pasti dia mampu melonjak ke kelompok lima pemain terbaik dunia dan satu hari nanti mengungguli ranking nombor satu dunia,” katanya.

Sementara itu, Sivasangari menerusi ciapan dalam akaun X miliknya berkata, dia berazam untuk terus berusaha dan menikmati setiap proses yang bakal dilaluinya.

“Ini adalah mustahil (mengecapi kejayaan berkenaan) tanpa sokongan pasukan saya yang luar biasa. Ia mendorong, menggalakkan, dan sentiasa kekal bersama saya untuk melalui suka dan duka,” katanya.

Juara Klasik London itu mencapai kedudukan tertinggi dalam kerjayanya dalam kemas kini terkini daripada Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas melonjak satu anak tangga dari tempat ke-11.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini