
Chonburi: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara membuka kempen kelayakan Piala Asia B-23 2024 dengan aksi positif apabila menewaskan Bangladesh 2-0.
Berlangsung di Stadium Chonburi, Thailand, skuad kendalian E. Elavarasan bagaimanapun dipaksa bermandi peluh oleh Bangladesh dalam aksi pertama Kumpulan H itu.
Harimau Malaya B-23 terpaksa menunggu hingga minit ke-81 untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan jarak jauh menarik daripada Aliff Izwan.
Jaringan itu menjadi pencetus semangat kepada barisan pemain muda negara dengan Fergus Tierney mengesahkan kemenangan 2-0 menerusi jaringan pada masa kecederaan.
Skuad negara akan meneruskan cabaran berdepan Filipina di gelanggang sama Sabtu ini, dengan aksi itu juga menjadi perlawanan wajib menang untuk membuka peluang lebih cerah ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar, tahun depan.
Mengikut format pertandingan, 16 pasukan terdiri daripada 11 juara kumpulan dalam saingan kelayakan bersama empat naib juara terbaik kumpulan dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di pusingan akhir.