comscore
Tumpuan :
Sukan

Skuad Harimau Malaya B-23 tiba di Doha

FOTO: Ihsan FAM

DOHA: Skuad Harimau Malaya B-23 kendalian Juan Torres Garrido selamat tiba di Doha, Qatar siang tadi, bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 bermula 15 April hingga 3 Mei 2024. 

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D, memulakan saingan menentang Uzbekistan pada 17 April, jam 9 malam di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Ia diikuti perlawanan kedua, berdepan Kuwait, tiga hari kemudian di gelanggang dan waktu sama.

Skuad Harimau Muda mengakhiri kempen kumpulan  menentang Kuwait jam 11.30 malam pada 23 April di Stadium Al Janoub.

Kejohanan kali ke-6 ini bermula di Oman pada 2013, menariknya menampilkan lima juara berbeza iaitu Iraq, Jepun, Uzbekistan, Korea Selatan dan Arab Saudi selaku juara bertahan.

Harimau Muda turut diperkuat tiga pemain yang beraksi untuk skuad senior baru-baru ini iaitu Mukhairi Ajmal, Nooa Laine dan Harith Haiqal Adam Afkar, juga dua pemain yang berpangkalan di luar negara Luqman Hakim Shamsudin (YSCC Yokohama) serta Annil Vigneswaran (Waldhof Mannheim)

Bagaimanapun seorang lagi pemain yang beraksi bersama pasukan senior, Azam Azmi Murad terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Oman pada 26 Mac lalu.

Sebelum memulakan cabaran, skuad negara dijadual mengharungi dua lagi perlawanan pemanas badan berdepan China (3 April) dan tuan rumah, Qatar pada 7 April.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini