comscore
Tumpuan :
Sukan

Skuad hoki 5s terima ganjaran RM80,000, tunggu peruntukan tambahan dari kerajaan

Foto: Malaysian Hockey Confederation / Facebook

SEPANG: Pasukan hoki negara yang muncul naib juara Piala Dunia Lima Sebelah (5s) FIH di Muscat, Oman tiba di tanah air dan disambut dengan beberapa berita baik.

Skuad kendalian Wallace Tan itu bakal mendapat insentif  Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) sebanyak RM80,000 diatas kejayaan yang dilakukan selain menanti lampu hijau daripada Kementerian Kewangan (MOF) mengenai dana tambahan kepada program hoki 5s selepas ini.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama MSN (Majlis Sukan Negara) sudah menghantar satu bajet permohonan peruntukan sebanyak RM3.9 juta kepada MOF semalam dan sedang menunggu kelulusan.

Foto: Malaysian Hockey Confederation / Facebook

“Kita perlu buat persiapan bermula dari sekarang dan kita akan berikan segala yang diperlukan mereka untuk menghadapi saingan yang dijangka lebih mencabar pada empat tahun akan datang,”kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, (KLIA) pagi ini bersama Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menyambut kepulangan wira terbaru sukan negara itu.

Beliau juga menambah sudah memaklumkan mengenai pencapaian skuad negara berkenaan kepada jemaah menteri dan yakin kerajaan akan terus memberikan sokongan sewajarnya.

KBS juga akan membuat bayaran semula kepada badan induk itu yang mengeluarkan belanja sendiri bagi menyertai Piala Dunia 5s 2024.

Malaysia yang menyertai saingan julung-julung kali diadakan itu bermula 28 hingga 31 Januari layak ke perlawanan akhir sebelum tewas 2-5 di tangan Belanda Rabu lalu.

Gelaran berganda buat negara apabila ketua pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook dinobatkan selaku pemain terbaik kejohanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini