comscore
Tumpuan :
Sukan

Skuad hoki kebangsaan dijangka dapat ketua jurulatih baharu selepas Ramadan

Skuad hoki kebangsaan ketika dibimbing Arulselvaraj. FOTO: Ihsan KHM

MELAKA: Bagi memastikan persiapan skuad negara menghadapi Piala Sultan Azlan Shah 2024 berjalan lancar, kekosongan jawatan ketua jurulatih pasukan hoki kebangsaan akan diisi secepat mungkin dan dijangka sebelum Ramadan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata ia berikutan pengendali baharu skuad Speedy Tigers mempunyai tempoh singkat iaitu lebih sebulan setengah sebelum berlangsungnya kejohanan berprestij itu yang bermula pada 4 Mei.

“Bagi pemilihan ketua jurulatih baharu ini ia akan dinilai sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kejurulatihan KHM yang diketuai Pengerusinya Datuk Majid Manjit Abdullah dan saya dimaklumkan satu mesyuarat akan diadakan pada 20 Feb ini. Kesemua senarai calon akan ditapis setelah permohonan untuk jawatan itu berakhir semalam.

“Apapun kita kena lantik seorang jurulatih dengan cepat kerana kita berharap pada bulan puasa mereka akan mula berlatih sama ada di dalam atau pun luar negara untuk fokus pasukan di Piala Sultan Azlan Shah nanti,” katanya.

Subahan berkata beliau turut dimaklumkan sejak permohonan jawatan ketua jurulatih itu dibuka pada 6 Feb lepas KHM menerima banyak permohonan termasuk calon tempatan dan luar negara yang berminat untuk mengendali skuad negara.

“Ini kerana mereka melihat pasukan hoki Malaysia mempunyai potensi dan bakat pemain yang boleh digilap untuk pergi lebih jauh selain suka dengan suasana harmoni masyarakat di negara ini.

“Apapun kita kena lantik seorang jurulatih dengan cepat kerana kita berharap pada bulan puasa mereka akan mula berlatih sama ada di dalam atau pun luar negara untuk fokus pasukan di Piala Sultan Azlan Shah nanti,” katanya selepas menyempurnakan Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Hoki Melaka ke-24, hari ini.

KHM mengiklankan notis kekosongan jawatan ketua jurulatih baharu untuk pasukan lelaki menerusi laman sesawang rasmi KHM 6 Feb selepas kontrak A Arulselvaraj berakhir berikutan kegagalan Speedy Tigers melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini