Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
PETALING JAYA: Skuad ragbi wanita kebangsaan menarik nafas lega, berjaya mengekalkan kedudukan tempat ketujuh pada kempen Siri Kejuaraan Ragbi 7 Sebelah Asia 2024 yang berlangsung di Hangzhou, China.
Ia selepas kemenangan yang dicatat ke atas Emiriah Arab bersatu (UAE) pada aksi penentuan klasifikasi 7/8 menerusi keputusan 24-17.
Memulakan kempen dalam kumpulan C, lawan sukar dihadapi skuad kendalian Md Faiz Samsukidir, akur dengan kekalahan 29-5 kepada Hong Kong sebelum tunduk 60-0 menentang Jepun.
Namun, kemenangan penting diraih skuad negara apabila mengatasi UAE pada perlawanan terakhir kumpulan dengan keputusan 17-5.
Berdepan Singapura untuk aksi klasifikasi 5/8, penguasaan awal disajikan Malaysia sebelum kebangkitan yang dilakukan lawan pada babak kedua menyaksikan pasukan negara tewas dengan keputusan 12-5.
Dan perlawanan klasifikasi 7/8 menentang UAE, aksi lebih baik disajikan dengan dua try Norfarahana Aziz dan satu try Menerusi Kajolin Jenisin memberikan kelebihan menerusi kedudukan semasa 17-5 sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, UAE cuba membuat kebangkitan, merapatkan kedudukan 17-12 pada satu ketika sebelum try Nur Alyia Nabila Samsubahari bagai menutup peluang kebangkitan pihak lawan.
Dan keputusan akhir 24-17 menyaksikan Malaysia menamatkan kempen kali ini di tempat ketujuh, menyamai pencapaian sama yang dicatat pada siri pertama di Incheon, Korea awal bulan lalu.
“Kami dapat menyelesaikan misi kami pada kali ini dengan mendapat tempat ketujuh, pujian harus diberikan kepada pemain kerana dari segi mental, para pemain dapat memberikan yang terbaik namun kita kurang bernasib baik di separuh akhir tadi.
“Walaubagaimanapun, kita berjaya mengekalkan kedudukan seperti siri pertama, harapan kami dapat memperbaiki dan memberi persembahan yang terbaik lagi untuk siri terakhir nanti”, kata jurulatih skuad wanita, Md. Faiz.
“Kami sebagai satu pasukan telah memberi yang terbaik sehingga ke akhir, cuma mungkin rezeki pada kali ini kami tidak dapat lagi untuk capai yang lebih baik, tapi kami telah mencapai sasaran untuk kali ini, tetapi untuk seterusnya kami akan memperbaiki lagi dari masa ke semasa dan akan memberikan yang terbaik pada siri yang terakhirlah”, kata kapten pasukan wanita, Rozliana Ridwan selepas perlawanan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.