comscore
Tumpuan :
Sukan

Skuad Wanita Sasar 6 Terbaik di Kejohanan Ragbi Asia 7-Sebelah

Oleh Hazreen Mubarak

PETALING JAYA: Penamat di kelompok 6 terbaik menjadi skuad ragbi wanita negara pada penyertaan di siri Kejohanan Ragbi Asia 7-Sebelah yang bermula 22 oktober ini.

Menurut ketua jurulatih Siddiq Amir Jalil, sasaran itu cukup realistik melihatkan persiapan mantap anak didiknya selain menyasarkan kejutan untuk menewaskan pasukan negara jiran seperti Thailand dan Hong Kong.

Kejohanan peringkat tertinggi anjuran Ragbi Asia itu melibatkan tujuh negara iaitu Malaysia, Jepun, Kazakhstan, Thailand, Filipina, China dan Hong Kong.

“Kami akan cuba memperbaiki bermula dengan siri pertama hingga siri ketiga. Harapan kami pemain dapat berlatih dengan program yang disediakan sekaligus dapat membantu untuk capai sasaran hingga ke siri ketiga.” katanya.

Bagi siri pertama kejohanan ini, pasukan ragbi wanita negara diletak dalam Kumpulan B bersama China dan Hong Kong.

Dua pasukan teratas Kumpulan A dan B akan layak ke separuh akhir Cup manakala dua pasukan di tempat ketiga dan keempat akan bermain di separuh akhir Plate.

Kesatuan Ragbi Malaysia turut mengumumkan senarai 12 pemain pasukan ragbi 7-Sebelah wanita di Kompeks Sukan IJM Cobra, semalam.

Siddiq mengekalkan tiga pemain berpengalaman iaitu Rozliana Ridwan, Norfarahana Aziz dan Shania Suinani Baduk.

Manakala sembilan pemain lain ditapis dari tiga kejohanan tempatan antaranya Sukan Malaysia XX MSN 2022 baru-baru ini.

Siri 1 akan berlangsung pada 22-23 Oktober di Stadium Boonyachinda, Bangkok, Thailand.

Siri 2 kejohanan ini akan diadakan pada 12-13 November 2022 di Incheon, Korea Selatan dan siri terakhir pada 26-27 November di Al Ain, UAE.

Senarai 12 Pemain Ragbi Wanita 7-Sebelah Negara :

1. Rozliana Mohd Ridwan
2. Norfarahana Aziz
3. Juanna Sari Petrus
4. Chrestiyanti Binti Paunil
5. Jannie Peter
6. Kajolin Jenisin
7. Valerie Anak Juan
8. Dinah Syafiqah Sadali
9. Afiayah Fauzi
10. Nur Syazwana Fauzi
11. Josie Mavcellina Anak Gone
12. Shania Suinani Baduk

Loading...
Terkini