comscore
Tumpuan :
Sukan

SKUASY: Eain Yow dan Sivasangari tak pertahan kejuaraan, peluang pemain lain buru status juara kebangsaan

Penganjur dan pemain bergambar bersama pada sidang media Kejuaraan Skuasy Kebangsaan ke-38 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini. Foto SRAM

BUKIT JALIL: Dua juara bertahan, masing-masing kategori lelaki dan wanita Kejuaraan Skuasy Kebangsaan tidak akan mengambil bahagian di edisi ke-38 yang membuka tirai hari ini.

Ketiadaan Ng Eain Yow dan S. Sivasangari kerana membuat persiapan Sukan Asia di luar negara, membuka ruang kepada Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar dan Rachel Arnold diletakkan sebagai pemain pilihan.

Saingan yang bermula hari ini sehingga ahad nanti diadakan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil menawarkan cabaran tersendiri kepada 195 peserta yang mengambil bahagian.

Juara kategori utama lelaki dan wanita 2022, Eain Yow serta Sivasangari yang tidak mempertahankan gelaran memberi ruang kepada barisan pemain elit lain mengintai podium.

Selaku pemain ranking kedua tertinggi selepas Eain Yow, Addeen Idrakie yang berada di tangga ke-69 menjadi pilihan pertama, diikuti juara empat kali, Ivan Yuen dan Mohd Syafiq Mohd Kamal.

Pemain ranking terbaik dunia wanita, Aifa Azman yang berada di nombor ke-29 pula menarik diri saat akhir, menyaksikan naib juara dua kali, Rachel Arnold diletakkan pilihan utama dicabar Aira Azman dan Noor Ainaa Amani Ampandi.

Selain divisyen perdana, turut dipertandingkan ialah 10 lagi kategori lain antaranya Divisyen Lelaki 1-5, Divisyen Wanita 1 dan 2, Lelaki atas 35 tahun, atas 45 tahun serta atas 55/56 tahun.

Loading...
Terkini