
KUALA LUMPUR: Selepas menjadi tanda tanya venue yang bakal dipilih untuk aksi final bola sepak Piala Malaysia Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC bulan depan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bagaimanapun MFL menerusi catatan di Facebooknya belum mengumumkan tiket perlawanan yang ditetapkan pada 8 Disember, jam 9 malam itu.
JDT juara 2017, 2019 dan 2022, mara ke perlawanan akhir selepas mencatatkan kemenangan agregat 12-2 ke atas Perak FC pada separuh akhir, manakala Terengganu FC yang merupakan juara edisi 2001, mengesahkan slot ke final menerusi kemenangan 4-2 secara agregat ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC.
Kualiti rumput baharu di Stadium Nasional menerima kritikan pada Pestabola Merdeka bulan lepas, yang merupakan kejohanan pertama diadakan di lokasi berkenaan selepas ditutup sejak Mac bagi menaik taraf padang menggunakan rumput baru jenis Zeon Zoysia.
Dalam catatan sama, MFL mengumumkan tarikh dan venue bagi perlawanan akhir MFL Challenge Cup antara PDRM FC dan Kuching City FC.
PDRM akan menjadi tuan rumah final pertama pada 29 Nov di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), manakala Kuching City menjadi hos final kedua pada 3 Dis di Stadium Negeri, dengan kedua-dua aksi akan bermula pada 8.15 malam.