JOHOR BAHRU: Enam negara mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun bagi merebut Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 dari 19 hingga 26 Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.
Berbanding lapan negara pada edisi tahun lalu, skuad Young Tigers akan berdepan lima pasukan iaitu naib juara tahun lalu, Australia, Britain, India, Jepun dan New Zealand dan dengan ketiadaan Jerman selaku juara pastinya membuka ruang Australia untuk menebus kehampaan tahun lalu.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pasukan remaja negara yang kini dibimbing ketua jurulatih I Vikneswaran sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan berkenaan.
“Sebelum ini skuad remaja negara mengadakan siri perlawanan persahabatan di Australia bagi mendapat pendedahan terbaik dan kejohanan hoki Piala Sultan Johor adalah fasa terakhir bagi persiapan menghadapi Piala Remaja Asia di Oman, November ini yang merupakan kejohanan untuk layak ke Piala Dunia Remaja di India nanti.
“Pasukan sudah tentu akan bermain mati-matian di SOJC, tetapi apa yang paling penting mereka mempersiapkan diri dan mengambil pengalaman serta pelajaran untuk kelayakan Piala Dunia tahun depan,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Cek Penajaan Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor ke-12, di sini, petang tadi.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar dan Presiden Hoki Johor (JHA), Datuk Majid Manjit Abdullah.
Sementara itu, Majid berkata, kejohanan kali ini tidak melibatkan Jerman berikutan juara dua kali itu menyertai kejohanan di Eropah.
“Edisi tahun lalu, ada lapan pasukan menyertai kejohanan itu sebab ada permintaan dari negara terbabit sertai SOJC untuk buat persediaan Piala Dunia Remaja ketika itu.
“Kita menjemput Jerman bagi edisi kali ini, tetapi mereka ada kejohanan di Eropah yang perlu disertai dan mereka terpaksa menolak jemputan kita,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.