comscore
Tumpuan :
Sukan

Southgate gesa pemain ‘tutup telinga’

Jurulatih England, Gareth Southgate memberi penghormatan buat penonton selepas aksi menentang AS di Stadium Al-Bayt dekat Al Khor, Doha. – FOTO: AFP

AL KHOR: Gareth Southgate menggesa pemain England supaya tidak menghiraukan cemuhan serta kecaman penonton susulan keputusan seri 0-0 menentang Amerika Syarikat (AS) pada pertembungan Piala Dunia awal pagi tadi.

Skuad Southgate terlepas peluang menempah tiket ke pusingan 16 terakhir dengan persembahan lesu yang hanya menyaksikan satu percubaan tepat ke arah gol lawan.

Selepas membelasah Iran 6-2 pada aksi pembukaan Kumpulan B, ia jelas satu tamparan buat England, yang digembar-gemburkan sebagai bakal juara dunia berdasarkan bukti perlawanan pertama mereka.

Penyokong England di Stadium Al Bayt meluahkan perasaan kecewa mereka dengan ejekan dan membuat bising di tempat duduk penonton sejurus wisel penamat ditiup.

Namun Southgate menegaskan pemain bintangnya mesti mengabaikan kritikan itu kerana beliau tidak merungut mengenai prestasi mereka.

“Adakah kami dicemuh? Saya tidak pasti sama ada ia ditujukan kepada kami. Secara peribadi, saya amat gembira dengan apa yang dipersembahkan pemain menentang lawan yang begitu sukar,” kata Southgate.

“Sudah tentu saya mahu penyokong kami pulang dengan gembira dan saya mahu penyokong kami di rumah tersenyum puas. Kami tidak berjaya melakukannya hari ini. Tetapi saya tidak boleh membiarkan ia menjejaskan pasukan.

“Kami perlu bertenang pada saat-saat ini. Kami pernah mengharungi kejohanan sebelum ini.”

Beliau menambah: “Ini satu kejohanan yang berbeza. Akan ada satu lagi tahap yang saya pasti tetapi kami berada di landasan yang betul. Kami masih boleh memenangi kumpulan ini dan ia harus menjadi sasaran utama sekarang.”

Satu mata mengekalkan England di tangga teratas Kumpulan B dan mereka boleh layak ke pusingan 16 terakhir selagi mereka mampu mengelak kekalahan dengan kelebihan empat gol di tangan Wales pada Selasa ini.

Southgate mengakui England tidak mempunyai sengat dan kualiti seperti ketika membenam Iran, menyalahkan persembahan hambar mereka disebabkan usaha gigih pemain AS.

“Pemain amat kecewa dan sedih selepas perlawanan tetapi saya memberitahu mereka ia tidak seperti mana yang diharapkan. Mereka mempamerkan sisi lain dalam permainan mereka dan ia penting untuk melangkah jauh,” kata Southgate. – HARIAN METRO/AFP

Loading...
Terkini