comscore
Tumpuan :
Sukan

Speedy Tigers dibelasah Jerman 10-1

Ketua jurulatih, Sarjit Singh memberikan arahan kepada pemainnya sebelum bertemu Jerman pada aksi persahabatan Jelajah Eropah di Monchengladbach malam tadi – FOTO: Konfederasi Hoki Malaysia

KUALA LUMPUR: Prestasi skuad hoki negara nyata mengecewakan ketua jurulatih, Sarjit Singh apabila mereka dibelasah 10-1 oleh Jerman pada perlawanan ujian hoki siri Jelajah Eropah di Monchengladbach, malam tadi.

Menurut Sarjit, beliau tidak menyangka gawang Malaysia dibolosi dengan jumlah yang besar, sambil mengakui kegagalan pemain mengawal benteng pertahanan menjadi punca pasukan negara dibelasah dalam aksi itu.

“Sejujurnya tidak jangka dengan jumlah jaringan ini. Struktur pertahanan pasukan tidak bekerja dengan baik dan bagi ruang kepada pihak lawan untuk menerima dan menjaringkan gol.

“Kami juga tidak berapa klinikal di dalam kawasan D. Keputusan yang agak mengecewakan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media, hari ini.

Walaupun tewas, beliau tetap memuji aksi pasukannya pada perlawanan itu yang tidak takut untuk menerapkan corak permainan menyerang berdepan lawan yang menghuni ranking lebih tinggi.

“Dari sudut positif pemain sebenarnya mampu untuk bermain dengan Jerman tetapi tidak berapa konsisten dan banyak perkara perlu diperbaiki. Mereka juga berani untuk bermain corak menyerang.

“Jurulatih berharap pemain dapat bangkit dan memperbaiki kelemahan pada perlawanan bertemu Jerman. Tanggungjawab yang besar untuk staf kejurulatihan memperbaiki pasukan,” katanya.

Pada aksi itu, pasukan negara meraih gol sagu hati menerusi Fitri Saari yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-47.

Kekalahan itu adalah yang kedua buat Malaysia dalam empat perlawanan, selepas tewas kepada Belgium B di Antwerp pada Rabu lalu.

Malaysian Tigers akan turun beraksi di Gladbach Hockey and Tennis Club menentang Monchengladbach pada Rabu ini. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini