comscore
Tumpuan :
Sukan

Sri Pahang ikat Aguero

Aguero kekal di Sri Pahang sehingga dua musim lagi . FOTO: Ihsan Sri Pahang FC / Facebook

KUANTAN: Pemain naturalisasi, Sergio Aguero, kelahiran Argentina, terus mendapat kepercayaan  Sri Pahang FC.

Aguero akan bersama Sri  Pahang bagi tempoh dua musim akan datang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024 hingga 2026.

Pengumuman berkenaan dibuat menerusi hantaran di Facebook rasmi Sri Pahang hari ini.

“Pemain tengah Sergio Aguero telah menandatangani lanjutan kontrak selama dua musim untuk terus bersama Sri Pahang FC.

“Komitmen, dedikasi dan kepimpinan Aguero diyakini akan terus menjadi aset berharga buat kelab. Tahniah Aguero. Terus sukses bersama Sri Pahang FC,” kata Sri Pahang FC menerusi hantaran itu.

Musim lalu, Aguero diberi tanggungjawab selaku kapten Tok Gajah dan membantu  Sri Pahang menamatkan saingan di kedudukan kelima Liga Super.

Berdasarkan rekod, Aguero menyertai skuad Tok Gajah sejak 2021 tetapi dipinjamkan kepada Perak FC pada ketika itu.

Pengumuman berkenaan meletakkan pemain berusia 30 tahun itu dijangka kekal menjadi pilihan utama skuad kendalian Fandi Ahmad musim baharu yang bakal membuka tirai pada 3 Mei depan.

Sri Pahang sebelum ini  mengesahkan  pemain yang akan dikekalkan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Syazwan Andik.

Loading...
Terkini