comscore
Tumpuan :
Sukan

Steenvoorden mahu julang TFC

Matthew Steenvoorden, bekas pemain skuad kebangsaan Belanda Bawah 19 Tahun akan perkuatkan TFC musim ini.- Foto ihsan TFC

KUALA TERENGGANU: Penampilan pertama di pentas bola sepak Asia Tenggara bukan satu masalah besar untuk menyesuaikan diri.

Itu nada positif pemain import baharu Terengganu FC (TFC), Matthew Steenvoorden yang akan memperkuatkan benteng pertahanan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner pada musim ini.

Tambah bekas pemain skuad kebangsaan Belanda Bawah 19 Tahun (B-19) itu, dia juga tidak kekok bergandingan dengan pemain tempatan biarpun sebelum ini lebih banyak beraksi dalam liga Eropah.

Bagaimanapun pemain yang bakal menyarung jersi nombor 4 selepas mengikat kontrak semusim bersama TFC, mengakui perlu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukannya.

Malah bekas pemain kelab Pakhtakor FC dalam Liga Uzbekistan musim lalu itu juga turut akui perlu memahami taktikal ketua jurulatih,  Steinbruckner.

“Bagi saya bukannya masalah besar untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak di rantau Asia Tenggara ini biarpun bakal membuat penampilan kali pertama bersama TFC.

“Lagipun saya fikir bola sepak di sini (Liga Malaysia) adalah sama dengan saingan liga yang lain, tiada bezanya, jadi saya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan.

Tambahnya yang sebelum ini pernah menyarung jersi enam kelab berbeza, faktor dia memilih TFC biarpun masih diperlukan kelab lamanya, kerana mahu merasai  pengalaman beraksi di pentas Asean selain menyahut tawaran daripada ketua jurulatih.

“Impian saya sudah pasti mahu meletakkan pencapaian pasukan TFC ini lebih baik berbanding musim lalu, harap ianya menjadi kenyataan lebih-lebih lagi skuad ini bukannya calang-calang pasukan sebagaimana dibuktikan ketika beraksi di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) tahun lalu,” kata pemain yang dikatakan mempunyai darah campuran dengan Indonesia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini