comscore
Tumpuan :
Nasional

Sukan Bangsa Johor babitkan 56 DUN

Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri

ISKANDAR PUTERI: Sukan Bangsa Johor yang bakal dilaksanakan di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ogos depan membabitkan kos perbelanjaan mencecah RM1.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, Sukan Bangsa Johor akan dimulakan di peringkat DUN bagi memilih wakil yang akan bertanding di peringkat negeri mewakili DUN masing- masing.

Selain tujuan pelaksanaan sukan itu untuk merakyatkan sukan di kalangan masyarakat hingga keperingkat akar umbi, ia juga bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat muda di seluruh negeri Johor.

“Terdapat empat sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Bangsa Johor iaitu sepak takraw, futsal, bola jaring dan keranjang, selain bakal dipertontonkan adalah persembahan sukan kabaddi.

“Semua 56 Ahli DUN dengan Jawatankuasa Penyelaras masing-masing akan bergerak bagi menjayakan Sukan Bangsa Johor ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk Penyelarasan Southern Volunteers Prihatin @ Johor Future 2023 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Sukan Bangsa Johor bagi peringkat negeri akan diadakan selama dua hari pada Ogos nanti dengan pembabitan kira-kira 1,800 peserta.

Mengulas mengenai program Skuad Muda Southern Volunteers (SV), Mohd Hairi berkata, inisiatif SV akan dikembangkan ke peringkat sekolah.

“Pihak SV telah memilih 56 sekolah di setiap 56 kawasan DUN untuk dijadikan sebagai sekolah rintis kepada pelaksanaan Skuad Muda SV yang mana ia adalah program pelapis kepada generasi akan datang dalam bidang kesukarelaan.

“Saya percaya dengan pembabitan serta kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan melancarkan lagi hasrat kerajaan untuk memperluas fungsi dan peranan SV hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Selain itu, Mohd Hairi berkata, kerajaan negeri juga akan melaksanakan program SV Prihatin @ Johor Future 2023 bagi membaik pulih 280 rumah golongan asnaf, warga emas, miskin dan ibu tunggal di 56 kawasan DUN.

Loading...
Terkini