Oleh: Saiyed Ismail
KUALA LUMPUR: Kes kegagalan doping membabitkan atlet bina badan semasa pertandingan Bina Badan Kebangsaan Mr. Malaysia bulan lalu akan dikendalikan sepenuhnya oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas).
Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) Mejar Jeneral (B) Datuk Dr. Ahmad Badrus Othman menjelaskan, pihaknya akan menunggu proses seterusnya agensi terbabit terlebih dahulu sebelum merancang siasatan secara dalaman.
“Saya ingat apabila dia dah dipanggil nanti kita akan buat juga, dan bagitahu Adamas lah, untuk buat siasatan kita sendiri kerana perlukan maklumat ini sebagai bahan mencegah penggunaan benda terlarang kepada atlet dan pegawai di masa hadapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Identitinya masih lagi belum didedahkan namun difahamkan atlet yang didapati gagal ujian doping tersebut merupakan juara salah satu kategori yang dipertandingkan di Johor pada 3 dan 4 Ogos lalu.
Beliau juga memberitahu, atlet tersebut berusia lingkungan awal 30-an serta pertama kali menyertai pertandingan sekaligus bukan berstatus atlet kebangsaan.
Adamas semalam memaklumkan keputusan analisis menunjukkan kehadiran bahan terlarang dalam sampel atlet termasuk metabolisme Stanozolol seperti Stanozolol‐1´N‐glucuronide dan 16beta-Hydroxystanozolol.
Ia tergolong dalam kategori S1.1 – Anabolic Androgenic Steroids (AAS) berdasarkan Senarai Larangan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) 2024 menyebabkannya dikenakan penggantungan sementara hinggalah proses pendengaran selesai dan keputusan muktamad diperoleh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.