comscore
Tumpuan :
Sukan

SUKAN: HOKI – Penyudah sudut penalti jadi fokus Young Tigers

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT JALIL: Kejayaan skuad Young Tigers merakam kemenangan 4-1 ke atas Mesir pada aksi penentuan klasifikasi 9/16 dalam saingan Hoki Piala Dunia Remaja disambut dengan gembira pengendali, Muhammad Amin Rahim.

Ia sekaligus menyaksikan Malaysia bakal meneruskan cabaran di penentuan klasifikasi 9/12 Rabu ini dengan Belgium menjadi penghalang seterusnya.

“Pertama sekali, saya rasa gembira dengan kemenangan ini sebab itu misi pertama menang perlawanan dengan Mesir dan masuk kelompok 9/12, kita dah laksana dengan baik tapi secara keseluruhan permainan, banyak kesilapan mudah kita lakukan terutama pada bahagian pertahanan dan serangan.

“Kita banyak mendapat pukulan sudut penalti tetapi gagal disudahi dengan baik, 16 pukulan sudut penalti, hanya berjaya menjaringkan dua, benda-benda ini kita harus perhalusi dan perbetulkan secepat mungkin sebab lawan kita selepas ini, Begium dan mereka merupakan pasukan yang kuat, pemain kena sedar ia bukan perlawanan yang mudah, dan kita kena buat sesuatu,” kata Amin pada sidang media selepas perlawanan.

Selepas jaringan padang Mohammad Harris Iskandar Osman pada minit ke 8, Malaysia berjaya menambah dua gol menerusi pukulan sudut penalti masing-masing pada suku kedua dan ketiga.

Bermula dengan jaringan Muhamad Faris Harisan minit ke 16 sebelum Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke 44.

Dua gol itu terhasil menerusi 8 pukulan sudut penalti yang diraih Malaysia sehingga tamat suku ketiga.

Suku keempat, satu lagi jaringan sudut penalti dihasilkan menerusi Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi, namun 7 peluang sama tidak membuahkan hasil menyaksikan hanya 3 gol sudut penalti berjaya dicetak dari 16 peluang yang dimiliki Malaysia.

“Empat perlawanan kita cipta banyak peluang tetapi gagal untuk jaringkan gol, jumlah pukulan sudut penalti kita juga banyak, ada banyak penyudah yang tidak bagus, bukan jurulatih saja perlu perbetulkan pemain tetapi pemain perlu bertanggungjawab untuk perbetulkan permainan.

“Kita akan cuba dapatkan sesi latihan esok, untuk sekurang-kurangnya memberi tumpuan kepada pukulan sudut penalti, lawan Mesir agak mudah dapat pukulan sudut penalti tetapi dengan Belgium mungkin susah untuk dapat.

“Saya memang selalu ikut rapat dengan semua pasukan, Belgium datang dari kumpulan yang sangat kuat, ada Pakistan, Belanda, Belgium dan New Zealand dan saya rasa empat pasukan itu memang kuat dan kita perlu persiapkan diri kita dari segi mental dan permainan, kita akan cuba mengkaji corak permainan Belgium, ada satu hari setengah kita kena bersedia,” tambah Amin.

Malaysia dijadualkan bertemu dengan Belgium pada penentuan klasifikasi 9/12 Rabu ini selepas skuad kendalian Jeroen Baart itu berpesta gol membelasah Kanada 12-0.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini