comscore
Tumpuan :
Sukan

Jaringan Garnacho belum cukup bawa Manchester United ke pusingan 16 pasukan, berisiko untuk bertemu Barcelona, Juventus di perlawanan play-off

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

SAN SEBASTIAN:Manchester United terpaksa menamatkan kempen Piala Europa di tangga kedua kumpulan E walaupun berjaya merakam kemenangan 1-0 ke atas juara kumpulan, Real Sociedad.

Sekaligus menyaksikan skuad kendalian Erik Ten Hag perlu bermain aksi play-off menentang pasukan tangga ketiga dari Liga Juara-Juara Eropah.

Bermakna United berkemungkinan berdepan laluan sukar sekiranya diundi menentang pasukan-pasukan besar seperti Barcelona atau Juventus untuk mara ke pusingan 16 pasukan.

“Misi kami adalah untuk memenangi perlawanan ini dengan kelebihan dua gol, segalanya telah dilakukan, kita juga membuat beberapa keputusan berisiko tinggi bagi membantu pasukan mendapatkan gol menuju penghujung perlawanan, kita memenangi perlawanan ini berdepan pasukan yang hebat, tetapi ia tidak mencukupi untuk menjuarai kumpulan.

“Kami tidak perlu melihat pasukan mana yang akan menjadi lawan, misi kami jadi keutamaan tetapi kini kami perlu menghadapi salah satu dari pasukan berkenaan, kami mahu menjuarai saingan ini, lambat laun kami tetap perlu bermain dengan pasukan besar,” kata Bruno Fernandes, pemain tengah Manchester United selepas perlawanan.

Perlawanan terakhir menentang Real Sociedad di tempat lawan, United yang membariskan Cristiano Ronaldo di bahagian hadapan jelas mengawal permainan sejak dari awal lagi.

Dan gol pembukaan United hadir pada minit ke 17, lorongan Ronaldo berjaya dibaca Alejandro Garnacho sebelum pemain muda Argentina itu menolak masuk jaringan sulungnya bersama skuad senior.

Perlawanan selepas itu berlangsung seimbang, sehinggalah pada minit ke 42, Ronaldo berpeluang untuk menggandakan kedudukan, namun percubaannya agak tinggi dan singgah di atas bahagian jaring gol Sociedad.

Bersambung babak kedua, asakan demi asakan mula dilancarkan Sociedad, bagaimanapun, ketangkasan David De Gea berjaya menafikan beberapa percubaan lawan.

Bagaikan terdesak untuk mencari satu lagi gol, Ten Hag memutuskan untuk memasukkan Harry Maguire, cuba posisinya bukan di bahagian pertahanan, sebaliknya membantu barisan serangan United.

Serangan demi serangan yang dilakukan berjaya dikekang Sociedad dan keputusan 1-0 memihak United kekal sehingga wisel penamat.

Berjaya meraih kemenangan, namun perbezaan jaringan menyaksikan Sociedad ceria bergelar juara kumpulan E, sementara United terpaksa mengharungi tambahan satu perlawanan play-off menentang pasukan tangga ketiga Liga Juara-Juara Eropah dengan undian akan diadakan pad 7 November nanti dan perlawanan akan berlangsung pada 16 dan 23 Februari tahun depan.

Loading...
Terkini