comscore
Tumpuan :
Sukan

SUKAN OLIMPIK PARIS 2024: ‘Pocket Rocketman’ harap keputusan positif pemeriksaan jantung

Datuk Azizulhasni menyasarkan kayuhan emas di Sukan Olimpik 2024 di Paris dijadual Julai nanti.

KUALA LUMPUR: Impian malaysia untuk memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik masih belum berkubur sepenuhnya disebalik prestasi tidak menentu beberapa sukan harapan.

Misi tersebut menjadi azimat sandaran utama kontinjen negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang terus mengintai kedudukan podium utama temasya itu berbaki lima bulan sahaja.

‘The Pocket Rocketman’ ketika ini menghuni ranking kelima dunia basikal trek keirin UCI sekaligus hampir pasti menempah slot ke Paris berdasarkan pungutan mata.

Cuma pelumba kelahiran Dungun itu terlebih dahulu perlu berhati-hati dengan keadaan jantungnya serta menunggu lampu hijau daripada pasukan perubatan sebelum menyambung program persiapan seterusnya.

“Sepatutnya lepas ni ada pertandingan di Brisbane, Hong Kong dan beberapa lagi di sebelum Olimpik jadi sekarang saya kena betul-betul buat pemeriksaan dan dapatkan lampu hijau dari doktor semua.

“Jadi dari situ kita tengok saya akan pergi semua atau yang tertentu sahaja, mungkin pergi satu ke daripada banyak-banyak tu atau dua kan, kerana saya tidak fikir perlu menyertai banyak saingan ketika ini disebabkan pengalaman dah ada cuma perlukan rentak sahaja,” kata Datuk Azizulhasni di ibu negara, hari ini.

Beliau yang baru memenangi pingat emas keirin dan tempat keempat pecut basikal trek Piala Negara-Negara UCI di Australia awal bulan ini berada di tanah air buat seketika bagi beberapa urusan termasuklah berjumpa doktor dan pemeriksaan keadaan jantungnya.

Jangkitan keradangan jantung atau ‘perikarditis’ yang dialaminya sebelum ini diakui menjejaskan dirinya, justeru perlu lebih berwaspada.

Datuk Azizulhasni berada dalam laluan selamat untuk layak ke Paris dijadual Julai, apabila mengumpul kiraan baik sebanyak 2,580 mata di posisi kelima keirin, selain di tangga ketujuh acara pecut menerusi 2,340 mata.

Situasi itu membolehkannya lebih strategis, berbaki masa yang ada untuk mempertahankan kedudukannya.

Jika segalanya berjalan lancar, pelumba berusia 36 tahun itu bakal membuat penampilan Olimpik kelima berturut-turut sejak 2008.

Beliau membawa pulang gangsa keirin di Rio de Janeiro pada 2016 dan hampir-hampir melakukannya selepas itu di Tokyo menerusi perak.

Tidak mustahil, dengan pengalaman dan taktikal baharu jurulatih John Beasley, Malaysia mampu menamatkan penantian kilauan emas dari Velodrom Montigny-le-Bretonneux pada 5 hingga 11 Julai nanti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini