Tumpuan :
Sukan

Sukan SEA 2027: KBS tunggu pengesahan rasmi kerajaan Johor

Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menunggu pengesahan rasmi daripada kerajaan Johor untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 bagi sukan bola sepak.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyifatkan negeri Selatan di Semenanjung tanah air itu yang paling sesuai untuk dijadikan sebagai venue penganjuran sukan bola sepak, dengan fasiliti yang lengkap dan bertaraf antarabangsa.

“Menarik untuk Johor kerana mereka mempunyai fasiliti bola sepak bertaraf dunia. Ini merupakan kebangggan negara. Johor boleh bersama KBS untuk jadi host bola sepak dalam penganjuran Sukan SEA 2027.

“Kita kena tunggu kenyataan Exco Johor, mereka tunggu perkenan pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail untuk menganjur sukan iaitu bola sepak bagi temasya sukan dwi-tahunan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan larian Railway to See Malaysia Fun Run 2024 di Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhar (KTMB) di sini hari ini.

Rabu lepas, Exco Belia Sukan dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah memaklumkan hasrat Johor sebagai tuan rumah bagi sukan bola sepak, dan sedang menunggu perkenan daripada Tunku Mahkota Ismail, berhubung perkara itu.

Dalam pada itu Hannah berkata KBS akan mengadakan mesyuarat bersama negeri-negeri yang mempunyai hasrat bagi menjadi penganjur bersama KBS pada temasya sukan berprestij itu, pada awal tahun depan.

Beliau berkata pihaknya juga akan menubuhkan jawatankuasa bersama penganjuran Sukan SEA 2027, bagi melancarkan persediaan Malaysia bagi temasya sukan itu.

“Mesyuarat akan diadakan awal tahun depan, kita nak mulakan awal untuk pastikan persediaan rapi, kerana melibatkan beberapa negeri.

“Kita akan bincang dengan negeri-negeri yang berminat untuk jadi host, kita bincang bersama akan ada jawatankuasa bersama untuk anjur Sukan SEA 2027 untuk bergerak bersama,” katanya.

Ogos lepas KBS dalam satu kenyataan memaklumkan, Malaysia telah menerima tawaran daripada pihak Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah bagi temasya ke- 34 itu.

Ia merupakan kali ketujuh, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah setelah edisi 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

Kuala Lumpur dan beberapa negeri seperti Sarawak dan Pulau Pinang juga bakal terbabit selaku venue bagi beberapa acara yang bakal dipertandingkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini