comscore
Tumpuan :
Sukan

SUKAN SEA: Skuad hoki padang lelaki negara mara ke pusingan akhir

– FOTO : MHC / Facebook

PHNOM PENH: Skuad kendalian Muhd Amin Rahim mengesahkan tempat ke perlawanan akhir hoki selepas merakam kemenangan ketiga berturut-turut.

Berdepan Thailand pada aksi ketiga kumpulan hari ini, Malaysia tidak bermasalah untuk merakam kemenangan 5-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Morodok Techo.

Bagaimanapun, skuad negara terpaksa menunggu sehingga minit ke 12 sebelum Shahmie Irfan Suhaimi membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti.

Suku kedua, dominasi mula disajikan Malaysia dengan Muhd Najib Abu Hassan menggandakan jaringan pada minit ke 17.

Ia disusuli dengan gol kedua peribadi Shahmie tiga minit berselang untuk Malaysia selesa mendahului dengan kedudukan 3-0.

Minit ke 30, gol keempat Malaysia menyusul, kali ini menerusi jaringan Mohd Haris Iskandar Osman.

Thailand cuba bangkit pada suku ketiga, namun keampuhan pertahanan Malaysia memang sukar untuk ditembusi.

Sebaliknya Malaysia menambah gol kelima pada minit ke 49 dengan Shahmie melengkapkan hatrik untuk skuad negara menamatkan aksi dengan kemenangan 5-0.

“Alhamdulillah syukur atas kemenangan ketiga berturut-turut. Secara keseluruhan pemain bermain baik sepanjang perlawanan hari ini dan pemain nampak lebih tenang serta berjaya menguasai permainan mengikut perancang pasukan yang telah diatur. Diharap pemain kekal fokus dan tidak membenarkan ruang untuk melakukan sebarang kesilapan mudah untuk aksi seterusnya.

“Seperti yang diharapkan dan kami berjaya ke final namun masih ada baki satu perlawanan menentang Indonesia esok. Yang paling penting untuk pasukan adalah disiplin selain konsisten dalam setiap game plan yang dirancang agar tidak memberi ruang dan peluang kepada pasukan lawan menguasai permainan.

“Untuk pertemuan dengan Indonesia esok, seperti yang saya selalu katakana, kami perlu terus mengekalkan disiplin serta konsisten sepanjang perlawanan. Pemain juga harus bijak untuk tidak memberi harapan pada lawan atau menghidu peluang yang boleh digunakan mereka apabila kami bertemu sekali lagi di pentas final nanti. Diharap pasukan kekal fokus dengan objektif pasukan untuk menang dan bawa pulang pingat emas untuk Malaysia,” kata Amin selepas perlawanan.

Kejayaan ini menyaksikan skuad kendalian Muhd Amin Rahim ini sah menempah tiket ke penentuan emas walaupun masih berbaki satu perlawanan menentang Indonesia esok.

Malaysia dan Indonesia juga bakal berentap di pentas final memandangkan tiga pasukan lain tidak lagi dapat memintas dua kedudukan teratas.

Loading...
Terkini