comscore
Tumpuan :
Sukan

SUKIPT 2024: UNITEN kuasa baharu bola jaring

UNITEN jaguh baharu bola jaring SUKIPT 2024 selepas mengejutkan juara bertahan UiTM 30-29. – FOTO: NSTP

SINTOK: Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) melakar sejarah apabila mengungguli acara bola jaring pada saingan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 menewaskan juara bertahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Arena Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Pada aksi final yang mendebarkan itu. Uniten yang dibimbing Nooraliza Azami, diperkuatkan dengan enam pemain yang beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) menang tipis ke atas UiTM 30-29.

Menurut Nooraliza, beliau mengakui kejayaan anak buahnya itu adalah satu bonus selepas sekadar menetapkan sasaran mara ke separuh akhir.

“Apabila berjaya masuk ke final, kami menganggapnya sebagai satu bonus buat kami kerana pada sasaran awal kami meletakkan sasaran ke separuh akhir.

“Saya menghargai usaha semua pemain kerana mereka kini berada dalam peperiksaan akhir dan mereka mampu membahagikan masa dan menguruskan masa latihan dan belajar dengan baik.

“Ini adalah hasil pengorbanan yang dilakukan mereka,” katanya.

Bagi atlet terbaik perlawanan, Nursolieha Alieya pula, beliau bersyukur di atas kejayaaan berganda buatnya kerana sama sekali tidak menjangkakan dinobat sebagai atlet terbaik bola jaring kali ini.

“Kejayaan ini didorong oleh pengalaman yang kami lalui dalam kejohanan Sukma baru-baru ini dan ia turut membantu kejayaan ini. Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya meraih emas pada perlawanan akhir ini,” katanya.

Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas menewaskan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 42-29.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini