KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan kerajaan negeri supaya mengambil pendekatan serius dalam meningkatkan prasarana dan pembangunan atlet di negeri itu.
Titah baginda, usaha itu sebagai persiapan Kelantan mendepani dan bersiap siaga sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2028.
“Harapan beta sebagai tuan tumah Sukma akan datang, Kelantan mampu memberi saingan kepada negeri-negeri lain di Malaysia.
“Beta juga menyarankan agar sukan dilihat sebagai satu sumber janaan ekonomi baharu kepada Kelantan melalui penganjuran sukan rekreasi dan bersifat pelancongan sukan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Penghormatan Kebesaran Kelantan Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-55 di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.
Untuk rekod, ini kali pertama Kelantan dipilih sebagai tuan rumah SUKMA sejak penganjurannya pada 1986 oleh Jawatankuasa Tertinggi temasya itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.