comscore
Tumpuan :
Sukan

Empat justifikasi asas pemilihan jenis sukan ke SUKMA – MSN

MSN perjelas secara terperinci kriteria pemilihan jenis sukan di SUKMA – FOTO: MSN / Facebook

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menjelaskan pemilihan jenis sukan ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dibuat secara terbuka, menerusi keterlibatan dengan semua pemegang taruh di peringkat pusat dan negeri tanpa sebarang prejudis kepada sukan-sukan lain.

Ketua Pengarah (KP) MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan penetapan sukan yang dipilih dibuat secara bersama.

“Semua keputusan membabitkan jenis dan jumlah sukan yang dipertandingkan, diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dianggotai semua 14 Exco Belia dan Sukan Negeri-negeri selain wakil daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang mewakili persatuan-persatuan sukan kebangsaan.” menurut Datuk Ahmad Shapawi menerusi kenyataan yang dipaparkan.

Jawatankuasa telah menerima rumusan Bengkel Transformasi SUKMA disertai wakil Majlis Sukan Negeri-Negeri serta Kementerian Pendidikan pada 16 hingga 18 Februari lalu yang membawa kepada pemilihan 28 jenis sukan berdasarkan empat asas pemilihan.

Pertama ialah sukan dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik dan atlet negara layak menyertainya secara merit, yang kedua ialah Sukan dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Asia/ Sukan Komanwel di mana atlet negara mempunyai potensi prestasi meraih pingat, yang ketiga ialah sukan yang tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik tetapi dipertandingkan di Sukan Asia/ Sukan Komanwel dan atlet negara mempunyai potensi meraih pingat.

Justifikasi yang keempat ialah sukan popular dan dipelopori sebilangan besar rakyat Malaysia, dipertandingkan di dalam struktur pertandingan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) serta mempunyai kemudahan infrastruktur sedia ada di kebanyakan sekolah, premis kerajaan mahupun swasta di seluruh negara.

Daripada proses tersebut sebanyak 28 jenis sukan; akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, gimnastik, golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, hoki, judo, ping pong, taekwondo, karate, boling padang, pencak silat, sepak takraw, skuasy, tenpin boling, wushu, bola sepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan tenis dipertandingkan.

Tuan rumah edisi 2024, Sarawak yang diberi peluang menyenaraikan empat sukan pilihan telah menyenaraikan tinju, muay thai, sukan elektronik (esports) dan petanque menjadikan kesemuanya 32 sukan.

Beliau turut menambah Jawatankuasa Tertinggi ketika mesyuarat pada 16 Mac memperakui hanya sebahagian sukan berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 sahaja mampu dimasukkan ke dalam SUKMA berdasarkan kemampuan penganjur yang perlu memastikan kualiti penganjuran serta penyediaan khidmat logistik.

Peluang baki 75 jenis sukan yang berdaftar dimasukkan ke temasya seterusnya masih terbuka bermula SUKMA 2026.

Kenyataan terperinci yang diberikan Datuk Shapawi bagi menjawab dakwaan rakaman video Setiausaha Agung Persatuan Kabbadi Malaysia, Peter Gopi yang tular mengenai sukan yang dipertandingkan.

SUKMA adalah temasya berbilang sukan dan acara yang dianjurkan setiap dua tahun, dikhaskan untuk atlet-atlet muda negara berumur di antara 12 hingga 21 tahun dengan penyertaannya menerusi Majlis Sukan Negeri-negeri di bawah kelolaan setiap Kerajaan Negeri masing-masing.

Loading...
Terkini