comscore
Tumpuan :
Sukan

Syarat ketat untuk jadi pelumba kedua – Shah Firdaus

Oleh: Hazreen Mubarak

ISKANDAR PUTERI: Atlet lumba basikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom menyeru kepada barisan atlet muda untuk meningkatkan lagi kualiti masing-masing bagi menggantikan posisinya selaku pelumba kedua selepas Datuk Azizulhasni Awang sebelum ini mengesahkan tidak akan bertanding di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Tidak mahu menamakan secara spesifik nama individu terbabit, Muhammad Shah, 29, menyifatkan, ramai pelumba muda negara mampu menggalas tugas berkenaan sekiranya mereka berusaha gigih mencapai matlamat itu.

“Saya tak boleh nak sebut siapa pelumba itu sebab mereka semua bersaing secara sihat untuk jadi yang terbaik. Kita ada ramai atlet muda yang bagus cumanya mereka kurang keyakinan diri.

“Saya dah sentiasa bersedia untuk jadi pelumba utama. Dahulu saya sering bersama Datuk Azizulhasni di peringkat akhir. Kita tunggu dan lihat siapa mampu jadi pelumba kedua nanti,” katanya selepas majlis perasmian Cycling Series Johor 2024, semalam.

Anak kelahiran Muar ini menyambut baik perlumbaan Cycling Series Johor 2024 yang dilihat mampu menyerlahkan bakat pelumba basikal di negara ini.

Katanya beliau berharap lebih banyak perlumbaan dan pertandingan diadakan di negara ini untuk melahirkan lebih ramai pelumba pelapis.

Kejohahan Cycling Series Johor 2024 bakal menyaksikan lebih 3,000 penggiat sukan berbasikal dari 30 buah negara akan bertanding di Iskandar Puteri, hari ini.

Perlumbaan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Lebuh Raya (120km) dan Fellowship Ride (60km).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini