comscore
Tumpuan :
Sukan

Syihan sah sertai JDT

FOTO JDTv

JOHOR BAHRU: Akhirnya pemilik Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ‘mengenali’ Ahmad Syihan Hazmi Mohamed selepas penjaga gol Harimau Malaya itu sah menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi klip video yang dipaparkan di laman rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.

Sebelum ini ketika pihak media bertanyakan mengenai status bekas penjaga gol Negeri Sembilan FC itu ketika aksi persahabatan JDT menentang kelab Bundesliga, Borussia Dortmund pada 28 November lalu, Tunku Ismail secara berseloroh berkata tidak kenal dengan penjaga gol itu.

Bagaimanapun, kehadiran Ahmad Syihan yang menaiki sebuah limousin memasuki perkarangan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri sebelum Ahmad Syihan melangkah masuk ke stadium berkenaan dan menuju ke gawang gol, malah turut ke bilik persalinan sambil memerhati jersi bernombor 33 yang bakal disarungkan pada saingan Liga Super musim ini.

Kehadiran Ahmad Syihan juga melengkap kuota penjaga gol skuad Harimau Selatan yang kini memiliki Farizal Marlias dan Muhammad Haziq Nadzli, malah beliau juga menggantikan Izham Tarmizi Roslan yang dipinjamkan kepada Sri Pahang FC bagi tempoh semusim bersama kelab berkenaan.

Yang pasti kehadiran Ahmad Syihan yang beraksi cemerlang ketika saingan Piala AFF baru-baru bakal beri persaingan sihat antara Farizal dan Haziq, siapa yang akan mengemudi gawang JDT bagi mengharungi kempen liga.

Malah, dia juga tidak harus melepaskan peluang untuk membuktikan kecekapan menjaga gawang kepada pengendali baharu JDT, Estaban Solari tatkala pasukan itu akan mengadakan kempen siri jelajah persahabatan antarabangsa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bermula 25 Januari hingga 6 Februari ini. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini