
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memberikan reaksi positif terhadap tawaran Jawatankuasa Road to Gold (RTG) untuk mereka menyertai program berkenaan dalam misi memburu pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Bercakap kepada BH Sukan, Sze Fei berkata, dia dan Izzuddin sedia mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi membincangkan lebih lanjut berhubung tawaran berkenaan.
“Bagi saya, RTG adalah satu program yang baik untuk atlet.
“Kami terbuka untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut bersama menteri (Hannah) bagi mengetahui bentuk sokongan yang boleh diberikan kepada kami,” kata Sze Fei.
Sze Fei-Izzuddin menunjukkan lonjakan prestasi dan kini bergelar pasangan nombor dua dunia meletakkan mereka sebagai calon berpotensi bagi memenangi emas di Los Angeles 2028 dan Jawatankuasa RTG menawarkan tempat untuk mereka berada dalam program berkenaan.
Hannah berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pemain berkenaan bagi membincangkan mengenai bentuk sokongan atau bantuan yang diperlukan mereka.
Ketika awal RTG diperkenalkan pada Mac 2023, tiga pasangan profesional disenaraikan iaitu beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan dua beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tetapi mereka tidak berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, sepanjang tempoh mereka berada dalam program berkenaan banyak bantuan dan sokongan yang diterima daripada Jawatankuasa RTG.
Antaranya, pembiayaan untuk pembelian peralatan, pembiayaan untuk tempat latihan dan pembiayaan untuk pertandingan luar negara dalam saingan Jelajah Dunia BWF.
Pemain juga menerima sokongan sains sukan yang khusus iaitu jurulatih kecergasan fizikal, jurulatih analisis data prestasi, ahli fisioterapi, pakar pemakanan & tukang urut untuk semua kejohanan Jelajah Dunia BWF selain elaun bulanan sebanyak RM3,000.
Ahad lalu, Sze Fei-Izzuddin terus mempamerkan taring mereka apabila muncul juara Terbuka India di New Delhi.
Ia adalah gelaran keempat buat mereka dalam tempoh lima bulan selepas turut menjuarai Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik.
Pasangan itu turut muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China bulan lalu.
Mengulas mengenai pencapaian yang dilakar mereka setakat ini, Sze Fei berkata, ia adalah hasil usaha semua pihak dalam pasukan mereka.
“Ini bukan usaha kami sahaja, sebaliknya usaha semua iaitu jurulatih (Teo Kok Siang), jurulatih kecergasan fizikal, fisioterapi dan semua yang terbabit. Tanpa bantu mereka sukar untuk kami mencapainya, kami perlu berterima kasih kepada mereka,” katanya.
Tugasan antarabangsa seterusnya buat Sze Fei-Izzuddin adalah Seluruh England yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 16 Mac depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.