comscore
Tumpuan :
Sukan

Taekwondo Malaysia intai kepakaran jurulatih Korea Selatan

KUALA LUMPUR: Dalam usaha mempersiapkan atlet negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, Taekwondo Malaysia (TM) sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat jurulatih berkaliber dari Korea Selatan.

Setiausaha Agung TM R. Dhanaraj langkah itu bagi membantu selain memantau prestasi dua atlet berpotensi negara iaitu Muhammad Syafiq Zuber dan Sebastian Tan Chung Wan yang sedang memburu slot ke Paris.

“Kami masih dalam proses mendapatkan profil jurulatih dari Korea Selatan itu dan akan melakukan sesi temuduga sebelum mengumumkannya pada Januari.

“Jurulatih itu merupakan pemenang pingat perak dan gangsa Asia, mempunyai pengalaman kejurulatihan dan turut disyorkan oleh Persatuan Taekwondo Korea,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Sukan di MSN, di sini hari ini.

Dhanaraj berkata kehadiran jurulatih berkenaan dalam masa sama turut dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan skuad kebangsaan dan skuad pelapis pada masa akan datang.

Pihaknya juga akan menyusun semula program yang telah direncana bagi kelayakan Sukan Olimpik 2024 memandangkan tarikh kelayakan telah dipercepatkan daripada Mei kepada Mac depan.

“Pada mulanya kita mempunyai program di Korea Selatan pada Mei depan, tetapi kami akan ubah balik mungkin dengan menghantar mereka pada Februari dan selepas kembali ke tanah air, mereka terlibat dalam kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik.

“Sebastian sebenarnya berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan mengikuti program di sana, jadi kita akan pantau beliau melalui jurulatih dan untuk Syafiq kita akan hantar ke Korea Selatan untuk latihan,” katanya.

Muhammad Syafiq merupakan pemenang pingat emas kategori bawah 80 kilogram (kg) sementara Sebastian pemenang pingat gangsa (bawah 54kg) pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Loading...
Terkini