comscore
Tumpuan :
Sukan

Tan Cheng Hoe hormati Terengganu FC, sedia calar rekod kemenangan lawan

Foto: Selangor FC/Facebook

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

SHAH ALAM: Tan Cheng Hoe sedia untuk mencalar rekod 9 kemenangan berturut-turut Terengganu FC menjelang pertemuan pertama separuh akhir Piala Malaysia malam esok.

Memang tidak dinafikan, cabaran sengit menanti Selangor memandangkan Terengganu memiliki barisan pemain lengkap di semua posisi, turut menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain itu cemerlang menamatkan kempen Liga Super di tangga kedua di belakang Johor Darul Ta’zim selain turut mara ke pentas akhir Piala FA.

“Kita tahu Terengganu mempunyai rekod terbaiklah, mereka dalam landasan yang terbaik, saya rasa dalam 13 perlawanan dan 14 perlawanan, mereka cuma kalah Piala FA saja dengan JDT, selebihnya mereka semua menang, jadi dinpihak Selangor, sudah tentu pemain-pemain kena bersedia untuk menghadapi kerja sepasukan, keserasian nampak Terengganu begitu baik serangan mereka dan juga saya rasa pertahanan mereka juga mantaplah, dan untuk satu dua hari ini latihan kita perlu fokus bagaimana untuk tangani situasi lawan Terengganu nanti,” kata Cheng Hoe.

Hanya memiliki tempoh tiga hari sahaja untuk bersedia bagi menghadapi aksi seterusnya iaitu separuh akhir pertama malam esok, memang tugas sukar menanti kesemua pasukan, ditambah dengan cuaca tidak menentu, segalanya perlu direncana dengan baik memandangkan tiket ke final Piala Malaysia menjadi taruhan.

“Saya selalu memberi nasihat kepada pemain, kalau duduk di Malaysia mereka tahulah situasi cuaca dan juga jadual tersebut, pemain-pemain kena selalu sesuaikan diri dengan situasi tersebut, kita tidak boleh beri alasan hanya kerana hujan, atau jadual yang padat kita tidak boleh beraksi dengan baik dan pemain-pemain, mereka tahu pentingnya prestasi mereka di perlawanan separuh akhir, itulah sebabnya pemain-pemain kena jaga diri mereka dalam satu tahap terbaik dari segi pemakanan, dari segi masa rehat cukup penting untuk mereka bersiap sedia menghadapi perlawanan yang cukup sukar pada perlawanan separuh akhir nanti,” tambah Cheng Hoe.

Selangor mara ke peringkat separuh akhir selepas dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan Negeri Sembilan FC di suku akhir.

Menang 2-0 pada pertemuan pertama di laman sendiri, keputusan seri 2-2 ketika aksi di Paroi tetap melegakan untuk Selangor mara menerusi agregat 4-2.

Yang jelas, sepanjang empat perlawanan Piala Malaysia dari pusingan 16 pasukan ke suku akhir, Selangor hanya dua kali dibolosi, itu pun ketika bermain di tempat lawan menentang Negeri Sembilan.

Namun, jumlah 7 gol yang telah diraih setakat ini belum cukup menggerunkan berbanding 13 gol yang telah dihasilkan Terengganu setakat ini.

“Bila memasuki peringkat separuh akhir, semua pasukan memiliki peluang untuk menang, saya pasti rekod semasa kadangkala tidak membuktikan apa-apa, asalkan pemain dapat bermain di tahap terbaik mereka atau lebih baik, sebagai jurulatih sudah tentu saya akan gembira, cuma walaupun kita berjaya mencipta banyak peluang, saya percaya pemain-pemain perlu membuat jaringan dan itu akan memberikan kemenangan.

“Saya gembira dengan kondisi pemain semua dalam keadaan yang terbaik, cuma bukan berita baik kelab terpaksa lepaskan Yazan, terpaksa lepaskan beliau untuk tugasan skuad kebangsaan, yang lain dalam keadaan terbaik, itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan moral pasukan kerana kita tahu Yazan bermain begitu baik di bahagian pertahanan dan memang kita mengharapkan Yazan berada dalam satu tahap terbaik setelah kembali daripada tugasan kebangsaan nanti,” kata Cheng Hoe lagi.

Selangor turut akan beraksi dengan rekod tanpa kalah selepas lapan perlawanan selepas kali terakhir tewas kepada Kedah Darul Aman FC 1 Oktober lalu.

Dan pertemuan menentang Terengganu esok bakal menjadi pertembungan sulung kedua-dua pengendali, Cheng Hoe dan Nafuzi Zain selepas dia menggantikan Nidzam Jamil selaku ketua jurulatih interim September lalu.

Loading...
Terkini