
KUALA LUMPUR: Apakah beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berdepan krisis?
Persoalan itu timbul apabila gandingan nombor tiga dunia itu dipalit kekalahan mengejut kepada beregu Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue pada Terbuka India di New Delhi, hari ini.
Diletakkan sebagai pilihan ketiga, Tang Jie-Ee Wei sekali lagi dinafikan kemaraan ke final selepas tewas 21-17, 21-15 dalam tempoh 42 minit.
Ketika ditanya mengenai kekalahan itu oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Tang Jie menjawab ia terjadi berikutan kesilapan strategi akibat salah faham.
“Ada kesilapan membabitkan strategi disebabkan kesilapan komunikasi. Ada perkara yang berlaku dan kami akan bincang selepas ini,” kata Tang Jie yang mengakui kecewa sekalipun melangkah ke dua separuh akhir berturut-turut.
Ee Wei dalam pada itu turut mengakui ada kesilapan dalam corak permainan mereka.
“Lawan berjaya memberi kami tekanan malah kami juga bermain secara bertahan,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan final esok antara Gicquel-Delrue dan pilihan utama dari China, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin yang menewaskan satu lagi pasangan negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai pada separuh akhir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.